Dipecat enggan divaksin, Wan Ramly fail permohonan semakan kehakiman

Dipecat enggan divaksin, Wan Ramly fail permohonan semakan kehakiman

Seorang bekas askar berpangkat sarjan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan pihak berkuasa memecatnya.

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, Wan Ramli Wan Seman turut memohon deklarasi bahawa pemecatannya pada 4 Ogos tidak sah dan terbatal selain tiada kesan.



FMT melaporkan pemohon yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan, dipecat selepas berkhidmat selama 19 tahun.

Beliau juga hilang pencen yang sepatutnya diterima dalam tempoh 16 bulan lagi apabila bersara.

Wan Ramli, 39, menamakan Lt-Kol Sharull Hesham Md Yasin, Lt Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Jeneral Zamrose Mohd Zain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai responden.

Dalam afidavit menyokong permohonannya yang dilihat FMT, Wan Ramli, yang tinggal di Seremban berkata, beliau tiada rekod masalah disiplin.



Katanya, sebagai warganegara dan anggota angkatan tentera, haknya mengikut Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabul.

Disebabkan pemecatannya, beliau hilang hak untuk mendapat pencen bawah Perkara 147, iaitu hak yang dilindungi mengikut Perkara 13(1).

Wan Ramli sepatutnya bersara pada 20 Januari 2023, tetapi dipecat bulan lalu atas empat kesalahan mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.

Afidavit itu menyebut, Sharull Hesham adalah Pegawai Memerintah Batalion ke-24, manakala Azammunir pegawai yang menandatangani surat pemecatan Wan Ramli.



Katanya, kedua-dua mereka di bawah penyeliaan, kawalan, arahan dan undang-undang serta pentadbiran dasar tiga lagi responden.

Pada 3 Julai lalu, Wan Ramli menerima arahan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Rasah.

Beliau bagaimanapun menggunakan hak mengikut perlembagaan seterusnya memilih untuk tidak divaksin.

Susulan itu, beliau disoal siasat termasuk oleh seorang Komander Kompeni, Mejar Noor Azlan, Sharull, seorang doktor dan seorang ustaz.



“Ketika soal siasat itu saya menerima tekanan hebat dan dimarah kerana enggan divaksin,” katanya.

Wan Ramli dipecat pada 10 Julai termasuk atas alasan mengingkari arahan divaksin serta menggunakan bahasa mengancam atau melawan terhadap pegawai.

Pada 3 Ogos, beliau dimaklumkan mengenai perintah pemecatan baharu berkuat kuasa 26 Ogos.

Wan Ramli turut meminta dikenakan tindakan Mahkamah Tentera, tetapi ditolak oleh Sharull, yang katanya menafikan prosedur adil untuknya.



Menurutnya, responden mempertimbangkan perkara yang tidak relevan, menyalah tafsir peruntukan Akta Angkatan Tentera, tidak rasional, berat sebelah dan menindasnya. FMT

Dipecat enggan divaksin, Wan Ramly fail permohonan semakan kehakiman


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Sittah Annur PMYT bertaubat akhirnya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker