Sekolah negeri Fasa 4 PPN akan terima pelajar mulai 3 Oktober

Sekolah negeri Fasa 4 PPN akan terima pelajar mulai 3 Oktober

Sekolah dan seluruh ekosistem pendidikan negeri yang memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah bersedia menerima kehadiran pelajar masing-masing, menjelang sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pada ketika ini sekolah di Langkawi, Labuan dan Negeri Sembilan akan mengikut pengoperasian sekolah Fasa Empat PPN.

“Meskipun kemasukan pertama ini untuk kelas peperiksaan tapi ia akan diikuti murid-murid lain di sekolah rendah juga.

“Jadi, penekanan perlu diberikan supaya persiapan dan persediaan lebih awal dapat dilakukan, walaupun secara umumnya ketika sekolah dibuka pada Fasa Empat ini, hanya ke sekolah adalah pelajar peperiksaan bagi sekolah menengah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Radzi berkata, pengoperasian sekolah di Langkawi adalah mengikut negeri dalam Fasa Empat PPN dan daerah itu kini berada di bawah pelaksanaan inisiatif gelembung pelancongan yang bermula 16 September lalu.

“Selain Langkawi, Labuan dan Negeri Sembilan akan memulakan sesi persekolahan, maka persediaan itu perlu dibuat dengan rapi,” katanya.

Radzi (kiri) ketika meninjau persiapan sekolah di Langkawi hari ini.
Radzi (kiri) ketika meninjau persiapan sekolah di Langkawi hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Pulau Tuba, Langkawi bagi meninjau persiapan dan persediaan sekolah sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula pada Ahad, minggu depan.

Pada lawatan itu, empat sekolah sempat dilawatinya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak, SK Pulau Tuba dan SK Selat Bagan Nyior.

Razdi berkata, hasil lawatan itu beberapa perkara boleh ditambah baik terutama dalam konteks pengudaraan di bilik darjah dan bilik khas.

“Misalnya poster dan langsir yang digantung perlu dialihkan bagi memastikan pengudaraan di setiap bilik yang akan digunakan murid ini berada pada tahap terbaik.

“Seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam konteks varian Delta, perkara paling penting adalah pengudaraan bukan saja dalam bilik darjah, tetapi juga membabitkan bilik khas, pejabat dan seluruh kawasan berbilik di sekolah perlu dipastikan ada pengudaraan yang baik seterusnya berupaya mengurangkan risiko jangkitan, terutama varian Delta,” katanya.

Selain itu, beliau turut meninjau kemudahan asrama bagi memastikan segala panduan yang sudah diberikan dipatuhi dengan baik.

Menjelaskan lebih lanjut, Radzi berkata, persediaan rapi itu perlu dilakukan berikutan sesi persekolahan bersemuka juga akan membabitkan murid berkeperluan khas dan juga murid prasekolah.

“Justeru secara keseluruhannya, seluruh ekosistem di negeri yang menggunakan ketetapan Fasa 4 ini perlu bersedia sepenuhnya sebelum sekolah dibuka,” katanya. BH

Sekolah negeri Fasa 4 PPN akan terima pelajar mulai 3 Oktober


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wajah Uqasha dah macam Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker