Vaksinasi remaja secara ‘walk in’ mulai Khamis ini

Vaksinasi remaja secara ‘walk in’ mulai Khamis ini

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) akan dilaksanakan secara “walk-in” (jumpa terus) berjadual mulai Khamis ini bagi memudah dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sebanyak 156 pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan integrasi di seluruh negara telah dikenal pasti untuk tujuan itu dengan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ini setelah mengambil kira PICK populasi dewasa yang hampir mencapai sasaran dan bilangan penerima vaksin di PPV Awam serta Integrasi telah menurun dan semua PPV di bawah CITF Induk juga dijangka akan berhenti beroperasi pada 15 Okt depan.

“Pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan. Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan.

Noor Azmi yang juga pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, pemberian vaksin PICK-Remaja secara “walk-in” melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah.

“Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan‘walk-in’ di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman. Bagaimanapun sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan.

“Remaja yang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang berumur di bawah 18 tahun, dibenarkan ‘walk-in’ ke semua PPV yang masih beroperasi pada ketika ini dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS.

Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka,” katanya.

Tambahnya bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan “walk-in” ke PPV awam atau integrasi.

“Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk tujuan vaksinasi.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan ibu bapa memastikan remaja yang akan divaksin mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan mengambil air secukupnya sebelum ke PPV serta mengawasi remaja supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin.

Sebelum ini, PICK Remaja dilaksanakan melalui beberapa kaedah antaranya secara “outreach” ke sekolah atau institusi secara berjadual, dan remaja komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

“Remaja yang akan menduduki peperiksaan utama yang bersekolah di sekolah asrama penuh atau asrama harian, janji temu dos pertama vaksin Covid-19 akan diberikan di klinik atau sekolah yang berhampiran tempat tinggal mereka, manakala vaksin dos kedua akan diberi di sekolah.

“Remaja yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah, akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

PICK Remaja telah dimulakan secara rasmi di peringkat kebangsaan semalam dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah. Sehingga semalam, sebanyak 5,964 sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

Bagaimanapun, PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak, Labuan, Sabah, Kelantan, Kedah dan Johor dan sehingga semalam, seramai 308,186 remaja menerima dos pertama vaksin Covid-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473), Kedah (19,453), Kelantan (17,413), Johor (16,019) dan Labuan (2,523). FMT

Vaksinasi remaja secara ‘walk in’ mulai Khamis ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker