Tindakan selari Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan

Sebaran :

Tindakan selari Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan

Tindakan kerajaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember ini, selari dengan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata ia antara tujuh tawaran yang bertujuan mengembalikan kestabilan politik.

Justeru katanya, keputusan kerajaan tidak membuat rayuan juga adalah konsisten dengan tawaran transformasi berkenaan.

“Ini menjadi satu titik permulaan kepada proses atau usaha kerajaan untuk melaksanakannya kerana keputusan sudah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

“Cuma sekarang kerajaan perlu segerakan ke arah pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik,” katanya kepada BH.

Terdahulu media melaporkan kerajaan mengambil keputusan tidak mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan berkata ia dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 September lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, kerajaan perlu melakukan persiapan segera dalam melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Katanya, persiapan itu termasuk senarai pendaftaran pemilih kerana ia turut membabitkan banyak pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Selain itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengemas kini senarai nama pemilih kerana apabila sudah laksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, sudah pasti jumlah pemilih baharu akan meningkat sehingga lima atau enam juta orang.

“Banyak proses yang perlu dilakukan, jadi persiapan awal perlu dilakukan dari sekarang jika mahu melaksanakannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Beliau berkata, persiapan awal itu penting berikutan negara berada pada fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Jadi semua perkara perlu dibuat lebih awal supaya menjelang PRU kita sudah bersedia,” katanya. BH

Tindakan selari Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya


Sebaran :

Leave a Reply