Dos penggalak, vaksin remaja harapan atasi krisis kesihatan

Sebaran :

Dos penggalak, vaksin remaja harapan atasi krisis kesihatan

Oleh Prof Dr Azizi Ayob

Perkembangan pemberian vaksin COVID-19 di negara ini berada pada landasan yang betul selaras dengan perancangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan lebih 78.2 peratus dewasa sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Pada masa sama, 93.3 peratus daripada populasi dewasa pula sudah menerima satu dos vaksin sehingga kelmarin. Selaras dengan trend ini, jumlah pesakit positif COVID-19 di seluruh negara juga berkurangan sejak lima hari lepas dengan kes harian semalam mencatatkan 14,345 kes, berbanding 14,954 kes direkodkan pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun di sebalik peningkatan jumlah penerima vaksin dan trend penurunan kes harian, masih ada dalam kalangan pesakit sama ada yang sudah menerima satu dos atau lengkap dengan dua dos boleh dijangkiti COVID-19 seperti dimaklumkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru, semua pihak perlu diingatkan dan jangan lalai kerana kecuaian dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 boleh menyebabkan padah serta penularan berlaku semula.

Pada masa sama, kerajaan baru-baru ini mengumumkan persetujuan melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 atau dos penggalak.

Antara tujuan utama pemberian dos penggalak adalah disebabkan varian Delta COVID-19 juga disahkan sebagai varian dominan di negara kita sejak dikenal pasti pada awal tahun ini yang membabitkan lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Varian Delta ini mempunyai tahap kebolehjangkitan agak tinggi dan menyumbang kepada keseriusan pesakit apabila dijangkiti. Ini membabitkan beberapa sub turutan dengan ciri dan mutasi sedikit berbeza daripada COVID-19 asal.

Maklumat ini berdasarkan pengumuman oleh KKM yang menjelaskan 265 kes COVID-19 tambahan sudah dikenal pasti membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 16 hingga 29 Ogos lalu, dengan semuanya adalah varian Delta (B.1.617.2).

Pemberian dos penggalak ini bukan bermakna vaksin diberi itu tidak memberi kesan perlindungan klinikal seperti dikehendaki, sebaliknya usaha itu akan memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan.

Maklumat pemberian dos penggalak disokong oleh beberapa maklumat kesan klinikal vaksin apabila seseorang itu terdedah kepada situasi semasa yang masih tinggi dengan penularan infeksi COVID-19.

Dos penggalak bukanlah baru dalam proses pemberian vaksin. Vaksin seperti Difteria, Tetanus, Polio, Hepatitis B dan Haemophilus Influenza tersenarai dalam program imunisasi kebangsaan untuk kanak-kanak Malaysia juga mempunyai dos penggalak setelah lengkap tiga dos awal diterima.

Dalam konteks COVID-19, keutamaan pemberian dos ketiga sebagai dos penggalak akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu, seperti anggota barisan hadapan kesihatan.

Tidak dinafikan kakitangan perubatan dan kesihatan sering terdedah dengan jangkitan COVID-19 kerana suasana kerja mereka yang memerlukan mereka berada di klinik, wad dan makmal serta terpaksa mengendalikan kes positif COVID-19 setiap hari.

Dos penggalak juga dikenal pasti boleh memberi manfaat tambahan kepada pesakit kurang daya tahan imun dan warga emas dengan pelbagai komorbiditi.

Pada ketika ini, pemberian dos penggalak perlu mematuhi beberapa kriteria tambahan termasuk apabila negara mencapai liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Ini satu syarat asas bagi memastikan mereka yang masih belum menerima kedua-dua dos vaksin diutamakan terlebih dahulu supaya pencapaian ke arah imuniti kelompok berjaya dicapai terlebih dahulu.

Namun, mereka yang sudah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin yang mempunyai sejarah kesan samping serius wajar dikecualikan atau perlu dilakukan pemeriksaan klinikal sekiranya perlu menerima dos penggalak ini.

Selain itu, vaksin COVID-19 juga akan diberikan kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun termasuk pelajar sekolah melalui PICK yang akan memulakan proses vaksinasi mengikut keutamaan.

Keutamaan itu membabitkan remaja yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Pemberian vaksin ini perlu kerana pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga sudah memberi kebenaran pembelajaran bersemuka di kelas yang akan bermula Oktober nanti secara berperingkat.

Jadi, langkah tambahan ini perlu supaya semua pihak termasuk pelajar dan remaja akan lebih bersedia untuk memulakan persekolahan sesi pembelajaran yang tertangguh sebelum ini.

Selain itu, golongan remaja sebagai kumpulan yang aktif di sekolah, kokurikulum dan komuniti juga akan berada di luar rumah, dan mereka sering terbabit dengan pelbagai aktiviti sosial yang boleh memanfaatkan masa depan mereka.

Justeru, kita berharap kedua-dua langkah penting ini, iaitu pemberian dos penggalak khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi dan vaksin kepada remaja dengan sasaran 80 peratus diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022 dapat membawa kita keluar daripada krisis kesihatan paling kritikal dalam sejarah moden ini. BH

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Kajian, Pembangunan Inovasi (IRDI), Timbalan Pengarah Pusat Kajian, Inovasi dan Pembangunan (IRDI), International Medical University (IMU)

Dos penggalak, vaksin remaja harapan atasi krisis kesihatan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib


Sebaran :

Leave a Reply