Memorial Covid-19 dalam talian dilancarkan

Sebaran :

Memorial Covid-19 dalam talian dilancarkan

Setakat ini sudah lebih 22,000 kematian akibat pandemik Covid-19 telah dilaporkan dan ia dijangka terus meningkat pada masa akan datang.

Bagi mengenang setiap mangsa yang terkorban akibat wabak yang berbahaya ini, sekumpulan sukarelawan melancarkan memorial dalam talian dengan nama Memorial Covid-19 Malaysia.

“Data diambil dan dikumpul melalui berita yang dilaporkan media tempatan serta hantaran awam di media sosial. Selain itu, memorial ini memperoleh data daripada perkongsian waris atau keluarga arwah/mendiang melalui laman web yang dihebahkan mulai 31 Ogos lalu.

“Selain menyiarkan gambar dan sedikit info mengenai arwah/mendiang, kami juga membuka ruang kepada semua orang untuk meninggalkan komen dan berkongsi cerita bersama arwah/mendiang di memorial arwah/mendiang,” menurut kumpulan yang mengusahakan laman itu, dalam kenyataan semalam.

Laman web Memorial Covid-19 Malaysia dilancarkan pada pukul 10 pagi, hari ini.

Menurut kenyataan itu, terdapat sekitar 300 memorial semasa setakat ia dilancarkan.

Selain mengajak orang ramai untuk berkongsi cerita berkenaan orang tersayang yang terkorban, laman itu juga menetapkan tarikh 19 haribulan pada setiap bulan sebagai hari peringatan kepada mangsa Covid-19.

“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk turut berkongsi cerita bersama orang tersayang pada tanggal ini melalui media sosial masing- masing dengan menggunakan #c19memorialmy dan mention/tag covid19memorialmy.

“Diharapkan memorial ini dapat dijadikan satu simbol ingatan berkekalan kepada setiap individu yang meninggalkan kita akibat pandemik ini.

“Jumlah 21,000 itu bukan sekadar angka yang diumumkan dari hari ke hari, tetapi setiap satu daripadanya ialah individu disayangi dan pemergiannya akan dikenang selamanya,” kata kumpulan itu.

Untuk memastikan laman web dapat diakses oleh sebanyak mungkin orang, mereka juga bekerjasama dengan kumpulan orang kurang upaya (OKU), Bolehspace bagi memastikan reka bentuk laman web mesra kalangan disleksia dan buta warna, serta mudah digunakan untuk golongan dengan masalah penglihatan.

Laman web ini dibangunkan oleh sekumpulan 22 sukarelawan yang tidak pernah bertemu secara fizikal.

Projek ini dimulakan ketika wartawan Malaysiakini, Aidila Razak membuat satu ciapan di Twitter pada 6 Ogos lalu, menyuarakan idea untuk mewujudkan memorial bagi mangsa korban Covid-19.

Ketika itu, angka korban Covid-19 mencecah 10,000 orang.

Lebih daripada 12 orang individu daripada pelbagai lapangan dan kepakaran telah turut serta ketika perbincangan sulung diadakan secara dalam talian pada 10 Ogos lalu.

Menurut data Kementerian Kesihatan, terdapat 22,010 kematian disahkan akibat Covid-19 setakat ini.

Korban pertama adalah seorang lelaki berusia 34 tahun di Johor yang disahkan positif pada 12 Mac 2020. Dia meninggal dunia lima hari kemudian, iaitu pada 17 Mac 2020.

Korban terbaru yang dikenal pasti setakat ini adalah lima pesakit yang meninggal dunia semalam – dua wanita berusia 67 tahun di Johor dan Perak, lelaki 76 tahun di Perak, wanita 66 tahun juga di Perak, serta lelaki 68 tahun di Selangor. Mk

Memorial Covid-19 dalam talian dilancarkan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu


Sebaran :

Leave a Reply