Ulama Kedah,Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia

Ulama Kedah,Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia

SELEPAS hampir seminggu bertarung dengan jangkitan Covid-19, ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang hari ini.

Allahyarham, 96, yang merupakan pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.57 tengah malam tadi.



Anaknya, Wan Mohd Assamudin Ahmad, 58, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang dirawat di Hospital Kuala Nerang sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, beliau juga akan menunaikan hasrat bapanya khasnya membantu menguruskan selain membantu mengajar di Pondok Ahmadiah

“Allahyarham adalah seorang yang sangat tegas dalam mendidik kami anak-anaknya dan mahu ilmu agama terus disebarkan kepada orang ramai menerusi sistem pengajian pondok,” katanya.

Wan Mohd Assamudin yang juga bekas pensyarah pengajian Bahasa Arab di Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) ditemui di luar perkarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, Padang Terap, hari ini.



Jenazah Tok Guru Pak Teh Mad selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.15 pagi tadi oleh kakitangan hospital mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut, Wan Mohd Assamudin memberitahu, tujuh adik beradiknya yang lain tidak dapat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kerana sedang menjalani kuarantin rumah.

Ujar beliau, ibunya Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83, turut menjalani kuarantin di hospital terbabit dan berada dalam keadaan baik.

Allahyarham Tok Guru Pak Teh Mad dilahirkan pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap.



Arwah mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Makkah.

Antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu ayah mertuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Makkah.

Kemudiannya, Pak Teh Mad kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok miliknya pada 1961.

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan. Utv



Ulama Kedah,Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker