Jangan berlakon kalau tak ambil vaksin

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan industri kreatif kembali beroperasi di negeri-negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Khamis mendapat respons positif.

Rata-rata syarikat produksi kembali mengatur operasi dan menyusun jadual penggambaran yang tertangguh sejak Mei lalu berikutan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bagaimanapun, terdapat berita mengenai selebriti yang menolak untuk mengambil vaksin tetapi mendapat peluang kembali berlakon.

Cerita itu menarik perhatian ramai pelakon dan pengarah kerana prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menetapkan hanya individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan kembali bekerja.

Antara penggiat seni yang lantang bersuara mengenai perkara tersebut ialah pengarah hebat, Azman Yahya, 55, atau lebih dikenali sebagai Jinggo.

Menurut Azman, setiap penggiat industri seni yang ingin kembali bekerja perlu mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.

“Sudah lama orang industri merayu untuk diberi peluang kembali bekerja. Ramai yang terjejas apabila industri kreatif tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Jadi, apabila diberikan peluang, kita perlu guna dan hargai sebaiknya.

“Kalau kita langgar SOP, tak mustahil kerajaan akan tarik semula keputusan itu,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Jinggo, dia tidak pernah membenci jauh sekali memusuhi individu yang menolak vaksin.

Bagaimanapun, berbalik kepada soal kerja, suami kepada pelakon dan penerbit, Sheila Rusly itu memilih untuk mematuhi peraturan ditetapkan untuk tidak mengambil pelakon yang belum lengkap dua dos vaksin.

“Saya tidak membenci atau memulaukan mana-mana pelakon yang belum mengambil vaksin. Belum ada akta yang mewajibkan rakyat Malaysia mengambil vaksin, jadi kita tak boleh paksa dia ambil vaksin.

“Sebagaimana mereka tidak mahu kita memaksa mereka mengambil vaksin, mereka juga tak boleh paksa kita (penerbit dan pengarah) untuk mengambil mereka berlakon.

“Cuma yang saya marah apabila ada produksi yang sewenang-wenangnya melanggar SOP ditetapkan.

Kelangsungan hidup

Jinggo berkata, beliau faham situasi mereka, lebih-lebih kalau penggambaran itu sudah dimulakan sebelum ini dan tertangguh, tetapi mereka perlu fikirkan jalan penyelesaian terbaik.

“Tak naklah disebabkan seorang, kerajaan tarik semula kebenaran sedangkan ramai yang terjejas teruk kerana tidak dapat bekerja,” jelasnya.

Menurut pengarah drama Penjara Janji itu, menerusi beberapa perkongsian sebelum ini, dia sudah menjelaskan bahawa vaksin akan mengurangkan risiko jangkitan, namun individu itu tetap boleh dijangkiti.

“Saya tak pernah kata kalau vaksin, maksudnya kita tidak dijangkiti. Kita boleh dijangkiti tetapi kita mengurangkan risiko pada diri sendiri dan orang lain.

“Bayangkan kalau ada yang tak divaksin, kemudian positif, dia bukan hanya merisikokan dirinya tetapi memberi risiko kepada orang lain.

“Malah di set sendiri, sudah ditetapkan syarat semua pengarah, pelakon dan kru perlu membuat ujian calitan tiga hari sebelum masuk set, ketika pertengahan penggambaran dan sebelum pulang.

“Semua itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan Covid-19,” katanya yang akan memulakan penggambaran drama 16 episod, Roti Cicah Susu pada minggu depan untuk tayangan di Astro.

Azman berkata, apa yang diharapkan, orang dalam industri kreatif dapat berkarya seperti biasa mengikut norma baharu dan kembali menjana pendapatan.

“Saya harap bukan penggiat seni yang duduk di Selangor, Kuala Lumpur sahaja tetapi seluruh Malaysia dan dunia juga dapat membiasakan diri bekerja dalam norma baharu.

 

No Image Caption

 

“Saya harap orang industri kreatif dapat bangkit, kembali bekerja dan redalah walau apa jua keadaannya.

“Tetapi jangan sampai abaikan kesihatan dan keselamatan sampai jejaskan orang lain.

“Patuhlah segala SOP yang ditetapkan, semoga suatu hari nanti kita boleh bekerja seperti dulu balik,” katanya.

Sementara itu, pengarah dan pelakon, Sabri Yunus, 60, turut menerima baik pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran SOP bagi industri kreatif yang disifatkan sebagai peluang terbaik penggiat seni kembali berkarya dan bekerja demi kelangsungan hidup.

Biarpun kelonggaran tersebut hadir bersama SOP ketat yang harus dipatuhi, Sabri tidak melihat ia sebagai membebankan, apatah lagi jika berkaitan keselamatan dan kesihatan penggiat seni terlibat.

Tanggungjawab

“Bagi saya, syarat-syarat atau SOP itu sememangnya perlu sebab kita masih belum bebas daripada pandemik. Ia sangat penting jika kita semua mahu kembali bekerja bersama-sama.

“Mungkin ia nampak membebankan tetapi dalam masa sama kita perlu lihat perkara positif di sebaliknya.

“Tak mungkin kita mampu menunggu Covid-19 bebas sepenuhnya, jadi kita memang perlu mengikuti SOP untuk keluar bekerja dan melakukan segala aktiviti dengan selamat,” kata Sabri.

Mengulas tindakan segelintir artis dan penggiat seni yang enggan mengambil vaksin namun masih mahu menyertai penggambaran seperti biasa, Sabri menyeru pihak terbabit agar tidak mementingkan diri sendiri.

“Kalau hanya kerana seorang dua enggan mematuhi SOP sehingga menyebabkan orang lain tidak boleh bergerak, ia tidak patut.

“Bagi saya, mereka yang tidak mahu mengambil vaksin harus melupakan seketika industri seni kerana industri memerlukan SOP itu untuk keselamatan bersama.

“Kalau fikir mengenai hak dia untuk menolak vaksin, dia juga kena tahu hak orang lain untuk rasa tidak selesa atau selamat dengan orang seperti mereka.

“Mungkin tidak jadi masalah kalau dia enggan mengambil vaksin dan hanya duduk di rumah. Namun sebaliknya apabila masih nak terlibat dalam penggambaran dan bekerja dengan orang sudah divaksin dalam satu industri,” katanya.

Senada dengan Sabri, pelakon Nadiya Nisaa, 36, mengharapkan seluruh penggiat seni mengambil tanggungjawab sama dengan mematuhi SOP ditetapkan untuk memastikan semua orang dapat bekerja dalam keadaan selamat.

“Mereka yang enggan mengambil vaksin tetapi dalam masa sama ingin terus bekerja dan menyertai penggambaran tentunya akan memberi risiko kepada orang lain.

“Kita bekerja dalam dalam satu kumpulan dan melibatkan ramai orang.

“Jika dia dijangkiti Covid-19, ia bukan hanya tentang kesihatan dirinya dan orang sekeliling, tetapi turut melibatkan pelbagai perkara lain termasuk kos dan masa pihak lain jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

“Oleh itu, tindakan menyertai penggambaran tanpa mengambil vaksin itu adalah sesuatu yang tidak patut dan akan menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Jangan berlakon kalau tak ambil vaksin


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Cabul Perlembagaan Negara jika iktiraf UEC!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker