Sampah kulit buah jadi beg mini ciptaan pelajar Malaysia diiktiraf dunia
Sampah kulit buah jadi beg mini ciptaan pelajar Malaysia diiktiraf dunia
Sekali pandang, tiada siapa menyangka bahawa material beg mini yang digunakan sebagai pembungkus set produk penjagaan kulit wajah ciptaan seorang pelajar universiti itu sebenarnya diperbuat daripada sampah kulit limau.
Produk material bio leather hasil ciptaan Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah itu menggunakan sepenuhnya kulit buah-buahan sitrus terutama kulit limau nipis dan bahan semula jadi lain, yang bukan sahaja bersifat lebih mesra alam malah mampu menjadi bahan pembungkusan pelbagai produk menggantikan plastik.
Lebih menarik, inovasi oleh pelajar Universiti Sains Malaysia itu masih berada di peringkat kajian awal, tetapi telah mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat kedua dalam pertandingan reka bentuk antarabangsa James Dyson Awards 2021 baru-baru ini.
“Saya percaya semua sisa makanan boleh diproses menjadi bahan atau barangan berguna sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, saya mahu menukarkan bahan yang dilihat tidak bernilai ini menjadi barangan berguna dan berharga.
“Selain membantu mengurangkan penjanaan sampah, material bio-leather yang menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya ini juga melibatkan kos lebih rendah,” katanya yang mengambil masa 10 bulan bagi menyiapkan projek tersebut.
Menerusi ujian yang dijalankan, Menlin Ng menggunakan kira-kira 30 kulit limau purut bagi menghasilkan dua helai material berukuran 20 sentimeter panjang dan lebar.
“Saya mendapatkan stok kulit limau dari beberapa restoran. Antara proses terlibat termasuk pengekstrakan, pengasingan kulit dan biji buah, rebus bagi mengelakkan kulat dan mencampurkan dengan bahan pelekat semula jadi sebelum dikeringkan sehingga menjadi produk akhir,” katanya.
Beliau berkata projek tersebut turut menekankan kepada eksperimen mencari bahan gam semula jadi yang sesuai dan terbaik antaranya tepung ubi, selain lilin lebah yang digunakan bagi menjadikan material lebih tahan lama dan mengelak pembentukan kulat.
Bagi membuktikan material itu praktikal, beliau yang berasal dari Sabah turut mereka bentuk sampel pembungkusan beg mini produk penjagaan kulit dinamakan ‘Citra’ yang lebih mudah dibawa, ringkas dan elegan.
Ditanya berkenaan cabaran utama, Menlin Ng berkata beliau perlu berdepan dengan kekangan menjalankan ujian di makmal susulan sekatan pergerakan dan penularan pandemik COVID-19.
“Dalam tempoh itu, pertemuan bersemuka dengan penyelia tidak dapat dilakukan. Terkurung di asrama kampus juga membuat saya beberapa kali hilang motivasi,” katanya.
Pelajar jurusan Reka Bentuk Produk itu juga berharap inovasi yang masih di peringkat penyelidikan awal itu dapat dikembangkan dan dimanfaatkan di peringkat profesional sekali gus membuka jalan kepada penghasilan material mesra alam.
“Saya perlu membuat lebih banyak kajian dan eksperimen bagi mendapatkan bahan terbaik dalam meningkatkan kualiti material ini pada masa akan datang.
“Malaysia adalah antara pengeksport buah dan sayur terbesar. Jadi secara tidak langsung, menyumbang kepada penghasilan sampah yang boleh dijadikan sumber kepada penghasilan produk pembungkusan daripada material semula jadi,” katanya.
— BERNAMA
Sampah kulit buah jadi beg mini ciptaan pelajar Malaysia diiktiraf dunia
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Baca Artikel Menarik :
- Enakmen Lompat Parti Perlu Dilaksanakan – Tok Mat
- Buka sekolah tahun depan saja, sekarang tumpu vaksin pelajar – PIBGN
- Muhyiddin sudah diberi peluang selama 17 bulan
- Amirudin perlu letak jawatan, cemari nama baik Sultan
- Setiap penyakit ada ubatnya
- Umno dibelenggu bayangan #KerajaanGagal
- Anak gadis Fiza Halim cantik, curi tumpuan
- Minah kilang sekarang tauke Leedee
- 1BestariNet, siasat segera demi kepentingan umum
- Muhyiddin ‘sangat marah’, desak peletakan jawatan saya kerana kontrak YTL, kata Maszlee
- Resepi Roti Chicken Floss Lembut Gebu
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.