Setiap penyakit ada ubatnya

Sebaran :

Setiap penyakit ada ubatnya

Oleh Nor Asree Mohd Noh

Vaksin merupakan antara salah satu usaha manusia untuk mengawal satu-satu penyakit sekarang ini. Biasanya ia dikaitkan penyakit yang berpunca daripada virus. Islam turut mengiktiraf vaksin sebagai salah satu kaedah perubatan yang dibenarkan bagi merawat sesuatu penyakit selagi mana ia mematuhi kehendak syarak.

Pengambilan vaksin dihukumkan sebagai harus oleh kebanyakan ulama sama ada di dalam mahupun di luar negara, malah terdapat sebahagian pendapat ulama mengatakan wajib. Sebagai contoh, isu vaksin dalam kalangan kanak-kanak di mana terdapat fatwa di beberapa negeri di Malaysia yang menghukumkan harus dan ada sebahagian negeri lain yang mewajibkannya sehingga mengatakan berdosa apabila menolaknya dek kerana kepentingan menjaga nyawa (hifz al-Nafs) dan kesihatan.



Bagi fatwa dari luar negara, Mantan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam hujahnya ketika disoal di dalam rancangan Fatawa Mubasyirah berkenaan hukum pemberian vaksin kepada anak-anak kecil dengan tujuan mencegah dari penyakit antaranya anggota badan tidak berfungsi: “Ini (mengambil vaksin) adalah suatu yang fardu. Kefarduan yang bersifat agama bahkan ia suatu kewajipan yang bersifat Islami. Jika tidak dilakukan, anaknya akan tertimpa bahaya.” (al-Syariah wa al-Hayah: Fatawa Mubasyirah)

Dalam negara, setiap fatwa yang dikeluarkan mufti bukan dilakukan secara bersendirian. Mufti akan terlebih dulu memanggil Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri (Jawatankuasa Fatwa) untuk melakukan perundingan. Proses demi proses perlu dilalui secara terperinci termasuk membuat perbincangan dan mendapatkan pandangan pada peringkat negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa peringkat Kebangsaan sehingga semua pihak berpuas hati sebelum sesuatu fatwa diputuskan.

Maka, dalam konteks vaksin Covid-19 adalah sama. Contohnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju untuk mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 3 Disember lalu yang mengambil ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan. (Sumber: Bernama, 14 Februari 2021)

Namun, mengapa masih terdapat golongan yang menolak vaksin dan memperkecilkan usaha kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan? Adapun bagi golongan yang tidak setuju untuk divaksin adalah tidak mengapa, namun dilarang sama sekali merencatkan usaha ini dengan menabur pelbagai fitnah dan ‘cerita ngeri’ kepada yang ingin mengambilnya. Ada perkara perlu difahamkan bahawa vaksin adalah antara ikhtiar seseorang untuk melindungi dari penyakit berjangkit dengan memperkenalkan sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) terhadap kuman dengan cara yang selamat.



Ikhtiar bererti pertimbangan dan usaha dalam membuat sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sebarang masalah, termasuk menangani wabak ini daripada terus merebak. Frasa ‘antara ikhtiar’ menunjukkan bahawa bervaksin salah satu usaha perubatan kini tanpa menafikan usaha yang lain, apatah lagi taasub terhadapnya. Tambahan itu, sebagai seorang Muslim adalah dikira salah apabila hanya bergantung kepada doa sahaja tanpa ikhtiar.

Selain itu, diwajibkan untuk setiap Mukmin berakal untuk percaya bahawa setiap penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT itu pasti akan diberikan penawarnya sekali.

Sabda Nabi SAW: “Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mereka juga perlu yakin bahawa Allah SWT memiliki sifat-sifat sempurna di mana Dia-lah yang Maha Memberi Mudarat sebagaimana dengan izin-Nya kewujudan penyakit Covid-19 ini; dan Dia jugalah Maha Memberi Manfaat dan Maha Menyembuhkan bagi sesiapa yang berusaha berubat dan berlindung daripadanya.

Sebenarnya, ini juga dikenali sebagai sunnatullah yang sudah ditetapkan oleh Sang Pencipta. Antara sunnah atau ketetapan-Nya ialah segala sesuatu yang diciptakan secara berpasangan. Ketika wujudnya penyakit, pasti ada ubatnya.



Apabila diselidiki dan difahami isu ini dengan baik, vaksin ini sebenarnya diperbuat daripada virus itu sendiri. Di dalam vaksin itu sendiri mengandungi antigen, yang diperoleh dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dilemahkan atau dimatikan. Antigen dalam vaksin tersebut akan merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Segala ciptaan Tuhan adalah sangat cantik. Jika direnungkan kisah Nabi Musa AS, baginda mempunyai tongkat yang bertukar menjadi ular, lalu menghapuskan ular-ular ahli sihir Firaun; di mana Allah mendatangkan ‘penawar’ bagi mempertahankan Rasul mulia itu daripada jenis sama bagi mengatasi ‘penyakit’ ketika itu, iaitu ular dengan ular. Adakah vaksin ini diibaratkan seperti tongkat Nabi Musa? Sama sekali tidak boleh dikatakan begitu, bahkan jauh sekali ketika dibandingkan dengan mukjizat para anbiya’.

Akan tetapi apa perlu difikirkan di sini ialah Allah SWT tidak akan mensiakan-sia hamba begitu sahaja. Tiada perkara mustahil bagi-Nya, Zat Yang Maha Mulia, boleh menciptakan ubat seperti vaksin di mana ia dihasilkan daripada kuman (virus) itu sendiri menjadi sebagai pertahanan diri untuk melawan kuman yang sama yang mungkin masuk dalam badan seseorang.

Dengan bervaksin, ia seolah meniru jangkitan semula jadi tanpa menyebabkan orang itu jatuh sakit. Fungsi vaksin ialah merangsang sistem imuniti sekiranya seseorang dijangkiti kuman berbahaya, sistem imun dapat dengan cepat mencegah jangkitan merebak di dalam badan dan menyebabkan penyakit. HM

Penulis Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Pusat Asasi dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)

Setiap penyakit ada ubatnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lagu Caprice membuatkan Yahudi lari bertempiaran


Sebaran :

Leave a Reply