Azalina bidas sikap angkuh mereka yang berkuasa

Azalina bidas sikap angkuh mereka yang berkuasa

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said membuat teguran terhadap Ahli Parlimen yang lebih mementingkan ego mereka berbanding rakyat.

Beliau menggelarkannya sebagai “angkuh” yang menyebabkan ahli-ahli politik berkenaan percaya bahawa mereka langsung tidak boleh ditegur.



“Malangnya, kita adalah masyarakat yang sangat sensitif. Kita tidak mahu dicabar atau dimalukan atau dipersoalkan,” katanya kepada FMT.

“Terutamanya apabila anda memegang kuasa dan mengharapkan orang lain mendengar kata anda, sambil berkata ‘disebabkan saya adalah menteri, saya sentiasa betul. Kamu perlu mendengar cakap saya’,” katanya.

Menurutnya, Ahli Parlimen tidak seharusnya menunjukkan sikap seperti itu di kawasan Parlimen mereka.

“Jika rakyat tidak gembira dan bertanyakan soalan dan tidak berpuas hati, kita tidak boleh memberi reaksi dengan menunjukkan rasa marah dan berkata, ‘Saya Ahli Parlimen kamu. Saya tahu apa yang saya buat.’



“Apabila mahu mendapatkan undi, pergi kepada pengundi, tetapi kesudahannya tak jumpa mereka selepas menang, ‘semuanya hanya mengenai saya, dengar cakap saya.’ Bukan macam tu sepatutnya.”

Katanya, keutamaan sebenar Ahli Parlimen adalah kawasan Parlimen dan isu yang dibangkitkan di situ, memandangkan setiap daripada mereka mempunyai masa yang terhad untuk menyuarakannya di Dewan Rakyat.

“Apabila mereka membahaskan isu, sepatutnya perbahasan selama lima ke tujuh minit itu membabitkan hal di kawasan Parlimen masing-masing.”

Beliau mengakui hak setiap Ahli Parlimen untuk berbahas mengenai dasar kerajaan secara amnya tetapi seringkali mereka menggunakan semua masa tujuh minit yang ada, terutamanya jika mengutarakan perkara tidak berkaitan.



“Bagi rakyat di peringkat bawah, mereka ingin melihat Ahli Parlimen mereka menyuarakan isu.”

Katanya, berdasarkan pengamatannya ketika menjadi timbalan speaker, menteri sering mengelak soalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

“Kebanyakan yang duduk di kerusi kerajaan tidak suka ditanya,” katanya.

“Manakala mereka di pihak pembangkang pula mempunyai banyak soalan. Sebab itu jawatankuasa pemilih penting untuk membolehkan lebih banyak perbincangan dibuat.”



Katanya, jawatankuasa pemilih tidak dibatasi dengan had masa dan boleh meneliti pelbagai isu dan dasar dengan lebih mendalam. FMT

Azalina bidas sikap angkuh mereka yang berkuasa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Sekolah tetap dibuka 3 Oktober – Radzi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker