COVID-19: 10 pelajar disahkan positif, 4 sekolah di Sandakan diarah tutup

KOTA KINABALU: Empat buah sekolah di Sandakan diarahkan tutup susulan 10 orang pelajar dan empat orang guru disahkan dijangkiti COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata ia melibatkan seorang guru di SM St Mary Sandakan, tujuh orang pelajar asrama, seorang pelajar luar dan dua orang guru di SMK Elopura Bestari, seorang guru dan seorang pelajar di SMK Batu Sapi, dan seorang pelajar di SMK Perempuan Sandakan.

“Bagi murid yang tidak dijangkiti, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan seperti biasa, iaitu melalui pembelajaran dalam talian dan menggunakan modul pembelajaran bercetak yang telah disediakan oleh guru masing-masing.

“Empat sekolah yang terbabit telah diarahkan tutup selama 10 hari oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi dan membendung penularan COVID-19 di sekolah,” kata beliau dalam sidang media laporan harian COVID-19 pada Jumaat.

Dua kluster telah dikesan hari ini, iaitu Kluster Tinanom, Ranau (46 kes kumulatif) di mana kes indeks merupakan pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama; dan Kluster Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu (12 kes kumulatif) yang dikesan melalui saringan individu bergejala.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi kelonggaran kemasukan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan berserta tanggungan (bukan berasal dari Sabah) yang bertugas di negeri ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enam tahun berumah di hospital

Pengecualian ini juga terpakai untuk diplomat yang layak di bawah Perintah Pengecualian (Exemption Order) dan tanggungan serta anak kapal (tidak melibatkan sektor minyak dan gas) bagi warganegara dan bukan warganegara yang masuk bagi menjalankan aktiviti sign-on atau joint ship.

Mereka tidak perlu memohon Kelulusan Khas, bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat yang boleh dirujuk dalam Panduan Kebenaran Masuk Ke Sabah Dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kelonggaran ini dibuat agar memastikan urusan-urusan rasmi mereka di Sabah tidak terjejas kerana kelambatan pihak kita untuk mengurus dan juga mempertimbangkan permohonan-permohonan yang sebelum ini terpaksa mereka buat,” jelas beliau.

Tambah Masidi, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini, pasar raya, farmasi, kedai menjual ubat-ubatan, kedai dobi serta kedai cermin mata, di antara jam 6.00 pagi hingga jam 10.00 malam.

“Kesemua aktiviti perniagaan ini tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” ujar beliau.

Secara keseluruhan, Sabah mencatatkan 288 kes baharu positif COVID-19 dengan dua kes kematian, iaitu dari daerah Papar dan Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker