Pembangkang kritik peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa

Langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan memperuntukkan dana sebanyak RM85.5 juta mendapat kritikan di media sosial termasuk pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, peruntukan yang diberikan untuk tujuan propaganda itu tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah membandingkan jumlah diterima jabatan berkenaan dengan bantuan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Jumlah RM85 juta untuk propaganda Jasa yang tidak ada manfaat kepada rakyat, RM500 sahaja untuk petugas barisan hadapan yang bertarung berbulan-bulan, RM350 sahaja kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan kerja dan tiada bantuan spesifik langsung kepada mahasiswa,” katanya di Twitter.

Dalam Anggaran Perbelanjaaan Persekutuan 2021, bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia disiarkan di laman rasmi Kementerian Kewangan menyatakan fungsi Jasa, iaitu untuk membangunkan komuniti sehingga ke peringkat akar umbi melalui komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat.



Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan ke-2 RM81.5 juta bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya, iaitu RM85.5 juta adalah peningkatan 185% daripada RM30 juta diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Belanjawan 2018.

Operasi Jasa dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan sebagai langkah mengurangkan kos.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi pula berkata, pada 2018 semasa pentadbiran BN, peruntukan diberikan kepada JASA adalah RM30 juta untuk digunakan terhadap 272 kakitangan, namun kini JASA dengan dana RM85.5 juta pula digunakan untuk 52 kakitangan.



“Sebenarnya, saya mahu ucapkan tahniah kepada Saifuddin Abdullah (Menteri Komunikasi dan Multimedia) kerana menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi bawah Jasa yang baru, berbeza dengan yang dulu sewaktu bawah BN.

“Saya harap pekerjaan ini dilengkapi dengan teknologi tinggi selaras revolusi industri 4.0 (IR4.0) memandangkan jumlah peruntukan diberikan untuk perkhidmatan dan pembekalan agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, sokongan khusus sepatutnya diberikan untuk melindungi perusahaan kecil dan sederhana daripada gulung tikar, manakala penganggur boleh diberikan perlindungan sosial lebih lama.

“Fokus sepatutnya diberikan untuk mempromosi tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan, perlindungan alam sekitar, pendigitalan dan dorongan besar bagi perlindungan sosial.



“Semua sektor ini akan mewujudkan pekerjaan baru dan usahawan baru dalam negara,” tulisnya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, kerajaan terlepas peluang untuk tampil dengan belanjawan bagi membetulkan semula ekonomi negara dan menutup jurang ketaksamaan.

Terdapat kritikan berhubung peruntukan itu di media sosial, dengan seorang pengguna berkata, beliau tidak pasti apa gunanya Jasa “selain menjadi tentera siber”.

Beliau mempersoalkan jika kerajaan akan menjelaskan bagaimana mereka akan membelanjakan peruntukan yang diberikan kepada Jasa itu.



Seorang lagi pengguna, Faizal Hamssin mendapati hanya RM24 juta diperuntukkan untuk menangani isu kesihatan mental. FMT

https://mykmu.net/2018/02/04/jasa-mahathir/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker