Tawil renung isteri sebelum tutup mata

Tawil renung isteri sebelum tutup mata

KUALA LUMPUR: Bintang filem Prebet Lapok, Tawil, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan oleh isteri, Azah Abdul Kahar, 62, yang berada di sisi ketika arwah meninggal dunia secara mengejut.



“Arwah kejutkan saya minta tolong sapukan minyak pada bahagian dada apabila sesak nafas secara tiba-tiba, jam 1 pagi.

“Ketika sapukan minyak, nafasnya seperti tercungap-cungap.

“Arwah selalu sesak nafas dan semput, sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, arwah tiada penyakit semput,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Azah berkata, dia memanggil jiran untuk mengalihkan arwah yang duduk atas kerusi.



“Saya sempat mengesat air liur yang meleleh, sebelum sibuk menghubungi anak-anak dan ambulans.

“Arwah renung wajah saya, sebelum pejam mata. Ketika dialihkan atas katil, arwah masih bernafas, cuma nadinya semakin perlahan.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans mengesahkan arwah sudah tiada. Saya percaya arwah menghembuskan nafas terakhir atas katil tanpa saya sedari,” katanya.

Isteri, Azah Abdul Kahar melihat perubahan Allahyarham Tawil apabila lebih banyak mendiamkan diri sebagai petanda akan pergi buat selama-lamanya. – Foto NSTP
Katanya, dia reda atas pemergian suami, apatah lagi, meninggal dunia pada malam Jumaat.



“Bagaimanapun, saya agak sedih mengenangkan arwah sempat mencapai telefon bimbit ketika nafas tercungap-cungap.

“Saya tahu arwah mahu menghubungi anak-anaknya. Mungkin mahu bercakap buat kali terakhir, tetapi tidak sempat.

“Apapun, saya reda arwah pergi pada penghulu hari. Arwah juga pergi dengan tenang dan cukup mudah,” katanya yang masih menggeletar seluruh badan akibat pemergian mengejut suaminya.

Katanya, dia dapat melihat perubahan sikap arwah sepanjang minggu ini.



“Arwah banyak mendiamkan diri. Selalunya arwah akan bantu mengalihkan tempat ampaian apabila saya basuh baju.

“Namun, arwah buat tidak tahu dan hanya pandang sahaja, kali ini. Mungkin arwah mahu saya membiasakan diri melakukan kerja rumah sendiri jika dia sudah tiada.

“Ia juga bagaikan petanda arwah akan meninggalkan saya, anak dan cucu buat selama-lamanya. Bagaimanapun, arwah tidak pula meninggalkan pesanan sebelum tutup mata,” katanya.

Beliau berkata, urusan pengebumian arwah diuruskan anak-anak, namun belum sempat berbincang mengenai lokasi dan waktu dikebumikan.



Allahyarham Tawil atau nama sebenarnya, Abu Bakar Ahmad bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta kemasyhuran menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, gelagat lucu dan kerenah arwah bersama bintang utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.

Malah, gandingan dua bintang dalam filem bergenre patriotik yang sarat elemen komedi ringan itu mampu meniupkan roh semangat perjuangan hinggakan ramai anak muda tertarik menyertai pasukan angkatan tentera pada 1979.

Filem Prebet Lapok adalah penampilan pertama arwah menerusi layar perak pada usia 29 tahun, selepas hampir lapan tahun bergiat aktif dalam dunia pementasan teater dan bangsawan.



Selain itu, arwah turut membintangi deretan filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi.

Jika dihitung, arwah Tawil membintangi kira-kira 500 drama, filem, teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.

Kali terakhir anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu tampil menerusi telefilem Taubat Seorang Samseng pada 2013, sebelum memperlahankan aktiviti seninya.

Tahun lalu, arwah Tawil antara 25 penggiat seni menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan veteran tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, unit kediaman didudukinya dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan bayaran RM35,000, sebelum arwah dan isteri berpindah pada Mac lalu. BH

Tawil renung isteri sebelum tutup mata


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bayaran pertama KWSP i-Citra mulai 2 dan 5 Ogos

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker