Atu Zero urus jenazah percuma

Atu Zero urus jenazah percuma

KUDAT: Kira-kira dua tahun lalu, kunjungan pelawak Atu Zero, 29, ke Pulau Banggi, Kudat, Sabah sekadar menziarahi penduduk tempatan dalam misi dakwah diketuai Nazzri Abdul atau dipanggil Imam Nazzri.

Namun, dalam lawatan itu, Atu atau nama sebenar, Sharid Kunal Doli Sharif menyedari wujud kelemahan dalam sistem pengurusan jenazah di pulau berkenaan.



Bertolak daripada itu, tercetus niat Atu dan kumpulan pengurusan jenazahnya, Pusat Tarbiyah Al Muhajirin, menawarkan khidmat secara percuma kepada penduduk setempat termasuk fakir miskin di Kudat.

“Kalau mahu diimbas semula, pada kunjungan pertama ke Pulau Banggi, saya hanya berniat mendedahkan penduduk tempatan mengenai Islam dan mengajar membaca al-Quran.

“Tetapi hendak dijadikan cerita, kami lihat kelemahan daripada segi pengurusan jenazah di pulau berkenaan yang dianggap antara kawasan terpencil di Sabah.

“Bapa saudara saya kemudian menasihatkan kami menawarkan khidmat pengurusan jenazah percuma sebagai saham akhirat,” katanya kepada BH Online.



Atas kesedaran dan saranan diberi bapa saudaranya itu, Atu berkata, mereka beroleh semangat untuk membantu penduduk tempatan menguruskan jenazah perkampungan itu.

“Kali pertama, kami menguruskan kes di mana jenazah dibawa dari Hospital Kudat ke perkampungan itu dengan menaiki bot.

“Jadi, proses pengurusan bermula dari darat hingga lautan di mana jenazah dikebumikan di Pulau Banggi,” katanya.

Atu berkata, pada peringkat permulaan, dia dan pasukan pengurusan jenazah melakukan kerja pengurusan jenazah secara kecil-kecilan.



“Kita menawarkan khidmat ini secara percuma dengan menggunakan sejumlah modal. Namun, dana yang disumbangkan insan pemurah membantu kami.

“Insya-Allah, perkara yang baik pasti dipermudahkan Tuhan. Bagaimanapun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, perkhidmatan itu dihentikan sementara.

“Ketika itu, saya dan isteri memberi tumpuan kepada kerja menghasilkan pakaian pelindung diri (PPE) bagi membantu kerajaan mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam komuniti,” katanya.

Berkongsi pengalaman menguruskan jenazah di Pulau Banggi, Atu berkata, pernah pada suatu ketika, van yang digunakan rosak.



“Namun, pada PKP 2.0, ada individu menawarkan van miliknya untuk mengendalikan kerja pengurusan jenazah.

“Isyarat daripada Tuhan cukup menjadikan kami lebih bersemangat. Hari demi hari, ada sahaja bantuan diberi bagi memudahkan urusan kami,” katanya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Atu berhasrat membeli ‘caravan’ bagi tujuan pengurusan jenazah yang lebih sistematik.

“Saya berhasrat membeli ‘caravan’ yang lebih besar bagi mengurangkan kos penyelenggaraan van yang digunakan sekarang.

“Kenderaan ‘caravan’ itu dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik. Saya pernah tengok ‘caravan’ seumpama itu diusahakan bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor,” katanya.

Atu berkata, ‘caravan’ sesuai digunakan mengambil kira saiz rumah di perkampungan itu kecil selain surau dan masjid jauh dari kawasan penempatan.



“Saya fikir ‘caravan’ yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah. Mana tahu, andai impian membeli kenderaan itu dipermudahkan, kami boleh luaskan perkhidmatan di luar daerah Kudat,” katanya.

Atu berkata, selain membantu membawa jenazah ke penempatan dan urusan pengebumian, pihaknya juga menguruskan pelbagai perkara membabitkan tuntutan waris di hospital.

“Tidak ketinggalan, isu dokumentasi sah seperti ketiadaan MyKad si mati. Ini menyukarkan waris menuntut menuntut khairat kematian,” katanya.

Atu berkata, dia turut menghantar ahli kumpulan terutama anak muda menjalani kursus pengurusan jenazah.

“Kursus pengurusan jenazah di bandar besar lebih terkini dan lengkap. Ini dapat menarik perhatian anak muda yang cenderung melakukan aktiviti tidak sihat.

“Contohnya, daripada melepak atau berseronok, mereka boleh dibimbing ke jalan betul. Terbaharu, saya dimaklumkan ada kanak-kanak berusia 12 tahun turut serta dalam kegiatan kumpulan kami,” katanya.

Atu bersyukur kelengkapan seperti kain kapan dan kit jenazah mencukupi hasil sumbangan beberapa individu.

“Setiap tahun, saya peruntukkan sebahagian daripada rezeki yang diperoleh untuk kerja murni ini. Namun, kita berusaha sehabis mampu dan Insya-Allah, ada jalannya,” katanya.

Menganggotai kumpulan komedi, Zero bersama abangnya Syaiful dan Sharif. Isteri Atu menjual kek lapis di mana RM5 bagi setiap kotak terjual disalurkan bagi membiayai khidmat pengurusan jenazah di Kudat. BH

Atu Zero urus jenazah percuma

Ismail Sabri PM, Anwar TPM?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker