PAS sokong penuh Ismail Sabri bukti Muafakat Nasional masih utuh

PAS sokong penuh Ismail Sabri bukti Muafakat Nasional masih utuh. Kemelut politik yang berterusan membabitkan UMNO dengan Perikatan Nasional yang turut dianggotai Pas menimbulkan prasangka bahawa Muafakat Nasioanal yang memasuki usia 22 bulan telah terkubur tanpa nisan.

Bagaimanapun hari ini, di sebalik kemelut politik yang berlaku Pas membuktikan parti Melayu Islam itu tetap istiqamah berpegang teguh dengan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa kesemua 18 ahli Parlimen Pas menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tuan Ibrahim mengesahkannya ketika ditemui selepas selesai mengadakan pertemuan bersama pimpinan UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini tadi.

“Sokong Ismail Sabri, semua 18 ahli Parlimen Pas. Kita sokong sepenuhnya dan kita pun telah siap surat akuan bersumpah (SD), jadi kita hantar,” katanya.

Beliau memberikan kenyataan itu bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pertemuan kedua-dua parti tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada malam Selasa memberi bayangan bahawa Pas akan tetap bersama UMNO berlandaskan Muafakat Nasional yang dibina melalui persefahaman kedua-dua parti.

Kenyataan yang dibuat itu berkemungkinan menjurus kepada UMNO dan BN secara konsensus menamakan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

“Pembina Muafakat Nasional adalah kedua-dua Presiden UMNO dan Pas berserta seluruh ahli UMNO dan PAS. Ia kekal sehingga kini. Tiada yang dipinggir atau disingkir daripadanya.

“Semua telah berjasa mengukuhkannya. Jangan kita menyahut seruan kiri dan kanan, malah dari dalam sendiri untuk memisahkan di antara kita.

“Kukuh Muafakat Nasional, kukuhlah kesatuan umat yang kian berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lebih baik yang akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan negara,” kata Nik Mohamad Abduh melalui kenyataan di Facebooknya.

Dari kiri: Mohd Khairuddin, Ahmad Maslan, Tuan Ibrahim dan Idris selepas selesai mengadakan pertemuan bersama pimpinan UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
Dari kiri: Mohd Khairuddin, Ahmad Maslan, Tuan Ibrahim dan Idris selepas selesai mengadakan pertemuan bersama pimpinan UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

 

Ahmad Maslan sebelum ini secara eksklusif kepada Sinar Premium menegaskan Muafakat Nasional masih utuh berdiri.

“Kita akui, mungkin dari segi keaktifan ketika ini dengan halangan-halangan SOP, maka ia tidak seaktif dulu. Namun, tidak ada keputusan untuk menamatkan MN bererti ia masih diteruskan seperti mana keputusan Perhimpanan Agung UMNO (PAU) di mana bab MN ini kita berusaha untuk memperkasakan muafakat nasional.

“Di sudut Pas juga mereka ada dua keputusan penting. Satu bersama PN, kedua, memperkasakan MN. Kami tidak ada dari segi bersama PN tetapi dalam hubungan UMNO-Pas, MN ini masih lagi tidak terputus. Tidak ada isu bahawa MN akan terkubur.

“Selain kita berpadu dalam UMNO, bersama dengan MN juga adalah merupakan satu perkara penting dalam perjuangan UMNO. Ia lebih daripada hanya politik malah memupuk perpaduan secara keseluruhan,” katanya.

Istana Negara pada Isnin mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinetnya telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa serta merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, susulan daripada peletakan jawatan tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Hari ini, semua ahli Parlimen perlu menyerahkan satu pilihan nama calon Perdana Menteri sehingga jam 4 petang ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker