Muhyiddin sebagai menteri mentor idea mengarut

Sebaran :

Muhyiddin sebagai menteri mentor idea mengarut. Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyifatkan idea melantik Muhyiddin Yassin sebagai menteri pembimbing sebagai mengarut dan tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, semua parti politik harus menghormati titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah kerajaan yang mantap dan bersih dapat diwujudkan.

Katanya, ia memberi mesej jelas agar pentadbiran yang akan dibentuk selepas ini perlu bebas daripada bayangan Perikatan Nasional (PN).

“Idea itu mengarut dalam keadaan negara sedang serius berdepan isu rakyat. Kita nak Kabinet (baharu) yang berintegriti, bersih dan bertanggungjawab, yang boleh memacu negara ke depan. Jangan cemari titah Agong yang mahukan sebuah kerajaan yang mantap dan stabil,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun semua pihak menghormati apa yang sudah dilakukan presiden Bersatu itu ketika era pentadbirannya, “kita perlu ada Kabinet yang baharu”.

“Apa yang Tan Sri dah buat kita ucap terima kasih, tetapi tidak untuk kembali semula dalam pentadbiran akan datang,” katanya. Tan Sri merujuk kepada gelaran kehormat Muhyiddin.

Awal hari ini, menurut desas-desus dalam kalangan lingkungan politik, Muhyiddin yang baharu sahaja meletak jawatan sebagai perdana menteri mungkin menjadi menteri pembimbing jika Ismail Sabri Yaakob dilantik ke jawatan tertinggi negara itu.

Ia susulan Ismail yang juga naib presiden Umno dilihat memiliki angka sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berpendapat sebarang jawatan yang akan diwujudkan oleh kerajaan baharu selepas ini perlu menimbang kesesuaian dan sumbangan posisi berkenaan kepada pemulihan negara.

“Pentadbiran PN macam-macam ada. Penasihat bertaraf menteri dan sebagainya, kalau ada jawatan lain sekali pun (selepas ini) kena fikir betul-betul dan ikut kesesuaian. Bukan sekadar isi jawatan,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengandaikan pemilihan perdana menteri baharu akan mengambil sedikit masa berbanding hanya seminggu yang diambil Istana Negara ketika melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8, tahun lalu.

“Buat masa ini ada kurang satu jam untuk Ahli Parlimen ikuti proses ini (nyatakan akuan berkanun (SD) nama calon perdana menteri).

“Kita jangka ia akan mengambil sedikit masa memandangkan Majlis Raja-raja akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini,” katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Agong akan mempengerusikan perbincangan khas Raja-raja Melayu bagi memneliti isu semasa yang dijadualkan Jumaat ini.

Beliau berkata, Agong turut berpandangan ahli Dewan Rakyat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan memberi fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan dalam kadar segera.

“Baginda turut mengingatkan ketua dan wakil parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia bekerja dalam satu pasukan,” katanya.

Muhyiddin sebagai menteri mentor idea mengarut


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU



Sebaran :

Leave a Reply