Alhamdulillah, Kembali ‘Bernyawa’ Selepas ‘Ditidurkan’

Alhamdulillah, Kembali ‘Bernyawa’ Selepas ‘Ditidurkan’

Ibarat nyawa di hujung tanduk, siapa sangka walaupun disahkan berada di tahap lima jangkitan Covid-19, keajaiban dan ‘peluang kedua’ diberikan Allah SWT benar-benar digunakan sebaik mungkin.

Bagi dua bekas pesakit, mereka tidak menyangka akan kembali ‘bernyawa’ selepas ‘ditidurkan’ akibat jangkitan Covid-19 apabila paras oksigen turun dan paru-paru dipenuhi virus menyebabkan mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).



Bekas pesakit Covid-19 tahap lima, Juriyati Mat Jalil, 56, dia tidak menyangka kembali pulih, walaupun keadaan kesihatannya tidak normal seperti sebelum dijangkiti.

“Saya sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan sebelum ‘ditidurkan’.

“Malah, saya merayu dengan doktor untuk ‘surrender’ (menyerah kalah) berikutan sudah tidak mampu lagi melawan kesakitan akibat Covid-19,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, bermula dengan bersalaman dengan kakaknya selepas solat Aidilfitri di rumah pada Mei lalu, dia tidak menyangka tindakan itu menjadi penyebab, sekali gus melalui pengalaman sukar itu.



“Kakak disahkan positif menerusi kluster tadarus Surau Kampung Ismail, Jiboi, Negeri Sembilan dan saya mendapat jangkitan daripadanya.

“Akibatnya, kakak, suaminya, saya dan suami disahkan positif Covid-19. Suami saya disahkan Covid-19 tahap empat dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM),” katanya.

Juriyati berkata, dia ditidurkan sebanyak dua kali dan sepanjang dikomakan itu, dia melalui pelbagai bayangan yang sukar diceritakan.

 



Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa
Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa

Menurutnya, sepanjang ditidurkan selama 12 hari, dia menjalani rawatan dialisis kerana virus itu sudah menyerang buah pinggang.

“Malah, saya dapat rasakan keadaan sudah teruk dan tiada peluang untuk disembuhkan lagi menyebabkan terpaksa memberitahu doktor tidak mampu bertahan dan mahu menyerah kalah.

“Saya tidak mahu doktor meneruskan apa-apa rawatan lagi dan meminta mereka menumpukan kepada pesakit lebih muda, tetapi doktor berkenaan berulang kali meminta saya berjuang dan mahu saya mencuba bersamanya,” katanya.

Menurutnya, dia bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika ‘ditidurkan’ sekiranya ajalnya sudah tiba, selain sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan.



Katanya, dia mula berfikir itu adalah pengakhiran hidupnya dan jenazah dibungkus seperti itu saja dan tidak sempat berjumpa suami.

“Bagaimanapun, Allah masih memberikan saya peluang kedua dan kembali sedar selepas 12 hari.

“Ketika ditidurkan, doktor sudah memaklumkan kepada ahli keluarga untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana keadaan saya sangat kritikal,” katanya yang dirawat hampir sebulan di hospital.

Sementara itu, bekas pesakit tahap lima, Zambri Mohd Isa, 42, berkata, dia mendapat jangkitan secara sporadik dan dirawat di ICU Hospital Selayang selama 13 hari.



“Saya mula demam pada 1 Julai lalu dan hari ketiga masih tidak sembuh dan terus melakukan ujian saringan serta disahkan positif.

“Saya diminta kuarantin di rumah, tetapi hari kelapan keadaan saya makin teruk dan paras oksigen semakin turun bawah 80,” katanya.

Dia yang juga peguam kemudian dimasukkan ke ICU Hospital Selayang berikutan hasil pemeriksaan doktor mendapati paru-parunya sudah dijangkiti virus itu.

Katanya, dia menelefon ibunya di kampung dan meluahkan sekiranya meninggal dunia, dia mahu jenazah dibawa pulang dan dikebumikan di sebelah arwah bapa.



“Saya tahu kemungkinan untuk meninggal agak tinggi selepas dirawat di ICU dan selepas dirawat tiga hari di ICU, paru-paru agak pulih serta dipindahkan ke wad biasa.

“Namun keadaan saya agak lemah, saya tidak mampu berdiri dan berjalan, hanya terlantar atas katil dan diberi tiub kencing serta dipakai lampin pakai buang.

“Bagaimanapun, selepas dirawat, saya disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya menjaga diri dan kesihatan kerana pasukan barisan hadapan negara sudah penat dengan kes meningkat setiap hari.

Menurutnya, sebaik tiba di Hospital Selayang, dia dapat melihat ramai pesakit dan suasana bagaikan di medan perang.

“Covid-19 ini memang ‘real’, jaga diri masing-masing. Sudah ramai anak menjadi yatim piatu, anak hilang ibu dan isteri kehilangan suami kerana Covid-19,” katanya.-HM

Alhamdulillah, Kembali ‘Bernyawa’ Selepas ‘Ditidurkan’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ibu tunggal temui ajal, 5 beradik hilang tempat bergantung

Wanita hamil berisiko tiga kali ganda masuk ICU akibat Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker