Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah secara senyap, duit bulanan diguna untuk sedekah – Shuib

Sebaran :

Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah secara senyap, duit bulanan diguna untuk sedekah.  Ketika mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada 2011, Shuib tidak memiliki apa-apa sehinggakan dia terpaksa berhutang pemberian mas kahwin kepada isterinya itu.

Kesulitan dan kepayahan yang dilalui Shuib, bagaimanapun, tidak pernah menyebabkan Siti Sarah mengeluh, jauh sekali menyesali perjalanan hidupnya.

Bahkan, Siti Sarah nekad dan berikrar untuk menemani suami tercinta melayari bahtera rumah tangga mengikut kemampuan mereka.

“Dalam apa sahaja keadaan baik susah dan senang, Siti Sarah tidak pernah tinggalkan saya. Dia tidak pernah malu teman saya berniaga di pasar malam ketika sedang hamil walaupun namanya popular sebagai artis.

“Saya kagum dengan kesetiaannya pada saya, sentiasa beri saya sokongan dan kekuatan. Apa sahaja kejayaan saya hari ini adalah kerana tuah dia. Saya tidak malu mengakui saya berkongsi tuah isteri saya,” kata Shuib dalam perkongsian secara langsung di akaun Instagramnya sebentar tadi.

Dalam perkongsian yang ditonton oleh lebih 600,000 orang itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, sepanjang 11 tahun hidup bersama suami isteri, Siti Sarah adalah seorang isteri yang sangat setia, taat dan begitu menghormati suaminya.

Paling menyentuh emosi Shuib ialah, Allahyarham isterinya itu tidak pernah berkira soal duit ringgit, tenaga dan kasih sayang dengannya.

“Terima kasih pada 11 tahun yang luar biasa buat isteri saya. Dia tidak pernah berkira dengan sedekah jariah. Rupa-rupanya banyak kebaikan dibuatnya dalam senyap. Duit yang saya bagi pada dia disalurkan pada sedekah dan kerana kemuliaan dia, Allah kurniakan saya rezeki yang melimpah ruah,” cerita Shuib dalam nada sebak.

Shuib membuat perkongsian itu lima jam selepas isterinya, penyanyi Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

Penghibur yang pernah popular menerusi lagu Kesetiaan itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 36 tahun akibat jangkitan COVID-19.

Selain Shuib, Allahyarham Siti Sarah juga meninggalkan empat orang cahaya mata Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 dan bayi lelaki Ayash Affan yang dilahirkannya pada Jumaat lalu.

Berlapang dada dan redha menerima ketentuan Ilahi, Shuib berkata, kehilangan Siti Sarah membuatkan dia semakin memahami bahawa isteri yang Allah kurniakan itu hanyalah pinjaman semata-mata.

“Saya semakin sedar bahawa isteri bukan milik saya, dia milik Allah. Isteri saya hanya dipinjamkan untuk 11 tahun sahaja, namun 11 tahun yang luar biasa.

“Saya redha menerima ketentuan ini dan dalam masa sama saya amat mencemburui pemergian isteri saya dalam husnol khotimah. Saya pernah bergurau dengan arwah isteri saya bahawa saya mahu meninggal dunia dalam syahid.

“Rupa-rupanya dia yang ‘pergi’ syahid, dia dapat layanan istimewa daripada Allah. Dasyhatnya pemergian Siti Sarah Raissuddin ini. Satu persatu Allah permudahkan,” ujar Shuib lagi.

Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah secara senyap, duit bulanan diguna untuk sedekah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Beritahu hal sebenar kepada anak-anak, ujian paling besar


Sebaran :

Leave a Reply