Hijrah : Fahami sejarah dan maksudnya

Hijrah : Fahami sejarah dan maksudnya

SAMBUTAN tahun baharu hijrah perlu mencapai matlamat sebenar, tepat dan selari dengan kehendak Islam, apatah lagi dalam konteks hari ini, masih ramai yang tidak menyedari falsafah di sebalik peristiwa agung itu.

Ia bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, manakala Islam mula berkembang dan tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Susulan peristiwa hijrah itu juga menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan, sekali gus ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak dengan batil.

Malah, keistimewaan Muharam perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’

Akibat tidak ambil pusing, ramai menyambut Maal Hijrah sebagai budaya ikut-ikutan.

“Ada ramai yang sambut kerana orang lain meraikannya dan tidak kurang yang hanya melihat sambutan Maal Hijrah sebagai alternatif kepada sambutan tahun baharu, dengan beranggapan kita perlu sambutan yang kelihatan lebih Islamik.

“Hijrah ini sebenarnya perkara penting kerana ia bukan sekadar perpindahan Rasulullah SAW dan sahabat ke Madinah, kerana impaknya mewujudkan surah Makkiyah dan Madaniyah dalam al-Quran,” katanya.

Berbicara mengenai tahun baharu hijrah, ramai salah faham termasuk mengaitkan tahun pertama hijrah itu bermula pada detik penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.

“Sebenarnya dalam tradisi kehidupan orang Arab, mereka tidak ada ketetapan bilangan tahun, sebaliknya kiraan hanya mengikut bulan seperti Safar, Rejab dan Rabiulawal yang berlaku sekian lama serta berterusan.

“Cuma apabila kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengajar penting untuk memiliki penanda tarikh, tetapi waktu itu masih belum wujud bilangan tahun.

“Maka, sejarah takwim Islam sebenarnya hanya bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab RA pada 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah,” katanya.

Ia bermula apabila pengaruh Islam mula berkembang luas ke seluruh pelosok negara Arab, termasuk di Basrah, Iraq.

“Pada satu masa, Umar menghantar surat kepada gabenor di Basrah, iaitu Abu Musa al-Ashaari dan ketika membalas semula, antara ungkapan disebut adalah ketidakpastian sama ada dihantar pada Syaaban tahun sebelumnya atau pada tahun berkenaan.

“Perkara ini dilihat secara mendalam kerana boleh menimbulkan implikasi kepada tadbir urus sesebuah negara.

Justeru, Umar ingin melakukan inovasi supaya urusan pentadbiran dapat dimantapkan, sekali gus lebih tersusun, cekap dan telus.

Hasil perbincangan dengan sahabat lain, muncul pelbagai pandangan berbeza mengenai bagaimana untuk memulakan kalendar Islam.

“Umar waktu itu mendengar pelbagai cadangan, termasuk dikira sempena tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan detik Baginda diangkat menjadi Rasul.

Bagaimanapun, pendapat diterima dan disepakati Umar bersama Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abu Talib RA, adalah mengira kalendar Islam bermula detik hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Kefahaman mengenai kemuliaan Muharam juga perlu diketahui hingga ia diambil sebagai bulan pertama dalam takwim Islam.

“Berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari, ia antara empat bulan haram, iaitu dimuliakan dan ini dipraktikkan seperti tidak boleh berlakunya peperangan sepanjang tempoh itu.

“Muharam juga istimewa kerana dimuliakan sebagai bulan Allah SWT. Apabila makhluk atau perkara itu dinisbahkan kepada-Nya, maka ia menunjukkan kemuliaan.

Nama Muharam juga dinisbahkan dalam syariat Islam sendiri, manakala orang Arab Jahiliah mengenalinya sebagai Safar Awal.

Justeru, antara amalan sunnah yang digalakkan sepanjang bulan ini adalah dengan melaksanakan puasa sunat.

“Nabi Muhammad SAW berkata, bulan yang paling baik untuk berpuasa selepas Ramadan ialah puasa pada Muharam.

“10 Muharram ialah satu tarikh sangat penting dan dimuliakan Rasulullah SAW hingga disunatkan untuk berpuasa, iaitu dipanggil al-Asyura.

Bagaimanapun, dalam mazhab Shafie, ulama menyatakan sunat untuk kita berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharam.

Antara fadilat terbesar puasa pada 10 Muharam yang tidak sepatutnya diabaikan adalah diampunkan dosa seorang hamba itu bagi tempoh setahun yang lalu.

Mengenai amalan membaca doa awal dan akhir tahun, yang sinonim dengan sambutan tahun baharu hijrah, hukum berdoa ini seperti disebut ulama, ia termasuk sebagai perintah Allah SWT dan ia tidak ditentukan masa untuk melaksanakannya.

“Maka, dalam persoalan boleh atau tidak membaca doa awal dan akhir tahun, ia tidak menjadi masalah walaupun bukan amalan Rasulullah SAW.

Adalah lebih baik doa ini dibaca dan dihayati bersama dengan kefahaman kita terhadap takwim serta amalan hijrah itu sendiri.

Kebiasaan umat Islam yang gemar memasang azam setiap kali tiba tahun baharu.

“Tidak semestinya pada tahun baharu sahaja menjadi masa terbaik untuk pasang azam, sebaliknya sebagai umat Islam sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk menjadi lebih baik setiap hari.

Apa yang lebih penting, lembaran hijrah ini sentiasa dihidupkan dengan meletakkan matlamat memelihara dan menegakkan agama Allah SWT.

Abu Qirsafah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia, berhijrahlah dan berpegang teguhlah dengan Islam. Ini adalah kerana selama jihad kekal, selama itulah hijrah (keluar di jalan Allah SWT) akan berkekalan.” (HR Tabrani)

Hijrah : Fahami sejarah dan maksudnya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nak tahu siapa Nazri sebenar, baca kenyataan lalunya – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker