Politik menarik rambut dalam tepung

Sebaran :

 

Politik menarik rambut dalam tepung. COVID-19 varian Delta bukan sahaja merebak dengan begitu pantas di seluruh dunia tetapi juga mungkin mengorbankan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan varian Delta adalah varian paling mudah merebak sejak kali pertama kemunculan virus itu di China pada akhir 2019.

Varian Delta menyebabkan Indonesia lumpuh. United Kingdom, Thailand dan Malaysia mencatatkan kes mencecah 20,000 sehari. Ia realiti di seluruh dunia yang gagal difahami sebahagian ahli politik yang mengejar kuasa dan kedudukan.

Di koridor politik negara, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimennya menarik sokongan kepada Muhyiddin dan meninggalkan kerajaan bukanlah terlalu mengejutkan.

Bulan lalu MKT UMNO membuat keputusan ahli Parlimen UMNO bebas menyokong usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tetapi minggu lalu parti terbesar itu mengubah keputusan mewajibkan semua wakilnya menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Alasannya, kerajaan telah derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan UMNO tidak boleh bersekongkol dengan penderhakaan tersebut.

Minggu lalu, saya menulis betapa idea kerajaan derhaka hanyalah agenda politik bagi memudahkan usaha menjatuhkan Muhyiddin.

Berikutan perbezaan tafsiran Perlembagaan Persekutuan berkaitan kaedah penamatan Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong membuat kenyataan media menzahirkan dukacita terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ia dieksploitasi sepenuhnya oleh fraksi Presiden UMNO untuk menjatuhkan kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, ketegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong tampak ‘flip-flop’.

Beliau tidak pula menghormati perkenan Seri Paduka agar kedudukan Perdana Menteri ditentukan oleh usul undi percaya dalam sidang Parlimen September ini.

Selepas perkenan Seri Paduka diumumkan, Ahmad Zahid melalui surat Setiausaha Agung UMNO tetap mahu semua ahli Parlimen UMNO meninggalkan kerajaan sekarang atau berhadapan tindakan disiplin parti.

Namun, 27 ahli Parlimen UMNO membuat keputusan kekal menjunjung perkenan Yang di-Pertuan Agong agar menumpukan usaha membantu rakyat ketika pandemik dan menentukan kedudukan Perdana Menteri di Parlimen.

27 orang ini mungkin dianggap pengkhianat parti dan sebahagian ahli UMNO yang tidak memahami kompleksiti politik serta pentadbiran negara.

Bagi kumpulan ini adalah mustahil mereka yang mengangkat sumpah menjaga kepentingan rakyat dan negara, mengambil keputusan meninggalkan pentadbiran ketika negara bergelut merawat puluhan ribu pesakit Covid-19, mendapatkan lebih banyak vaksin dan mempercepatkan vaksinasi.

Imej UMNO akan tampak buruk jika menteri-menterinya meninggalkan portfolio penting dalam kesihatan, keselamatan dan vaksinasi. Ketekalan kumpulan berkenaan bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Mereka mahu kerjasama kerajaan ini kekal walaupun Muhyiddin hilang sokongan nanti. Meninggalkan kerajaan sekarang bukan sahaja akan dicemuh rakyat, malah mewujudkan permusuhan dan kebencian UMNO dengan Bersatu.

Jika sikap permusuhan melampau itu merebak, sebarang usaha mencari Perdana Menteri baharu melalui ikatan politik akan gagal.

Akhirnya apa yang terjadi – UMNO akan berada di luar kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.

Di sebalik serangan menuduh mereka pengkhianat parti, keputusan mereka juga jelas selari dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang memutuskan UMNO kekal kerjasama dengan Bersatu sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan itu penting dipertahankan bagi membolehkan semua pihak dalam kerajaan sekarang bekerjasama membentuk kerajaan yang sama dengan Perdana Menteri baharu jika usul dibentangkan gagal dapat sokongan majoriti.

Kita memilih ahli Parlimen untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Malangnya sebahagian mereka tidak lagi memahami tujuan tersebut kerana berebut kuasa yang tidak berkesudahan.

Politik menarik rambut dalam tepung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siti Sarah ditiarapkan, darah beku di paru-paru

 


Sebaran :

Leave a Reply