Isu kontena jenazah: Lawak MB Kedah ‘amat menjengkelkan’

Beberapa pemimpin pembangkang tampil menyuarakan kekesalan berhubung sikap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menjadikan isu kontena jenazah sebagai bahan gurauan.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Sabrina Ahmad berkata, kenyataan tersebut merupakan satu penghinaan selain tidak sensitif terhadap keperitan mangsa Covid-19.

Menurutnya, isu kontena jenazah dan kematian akibat Covid-19 bukanlah perkara mainan yang boleh dijadikan bahan lawak.



“Gurauan beliau ‘kontena jenazah mencukupi, nak masuk, bagi nama’ adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima umum.

“Nyawa rakyat menjadi taruhan bukanlah sesuatu yang sesuai dijadikan bahan ketawa.

“Amat tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab apabila isu seumpama diperjudikan dan dijadikan jenaka oleh seorang pemimpin bertaraf menteri besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sejak Jumaat, tular sedutan klip video sidang akhbar Muhammad Sanusi ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Centre, Sungai Petani dan mendapat kecaman pelbagai pihak, terutama netizen yang mempersoalkan kewajaran berbuat demikian.



Mengulas lanjut, Sabrina berkata, ramai anak yang telah kehilangan ibu dan menjadi anak yatim pada usia muda disebabkan pandemik Covid-19 malah anak-anak kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang ibu kerana kerajaan gagal mengawal penularan wabak yang semakin membarah.

“Muhammad Sanusi langsung tidak peka hal ini dan masih mengeluarkan kenyataan tidak cerdik. Kami kesal beliau seolah-olah tidak bertanggung jawab terhadap isu yang membelenggu rakyat.

“Sebagai pimpinan nombor satu negeri, beliau seharusnya lebih peka dan perlu berhenti mengeluarkan kenyataan tidak bijak sebegini,” katanya.

Pihaknya berharap Muhammad Sanusi memberi keutamaan dalam menangani isu pandemik Covid-19 di Kedah yang semakin membimbangkan.



Sementara Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Firdaus Johari menyifatkan kenyataan tersebut sebagai biadab dan tidak sensitif terhadap rakyat yang telah kehilangan ahli keluarga dengan menjadikan isu kematian sebagai bahan jenaka.

“Mungkin selepas ini akan ada penyokong Pas mempertahankan beliau dengan mengatakan jenaka tersebut ialah cara beliau menyindir rakyat Kedah yang tidak jaga prosedur operasi standard (SOP) pula.

“AMK Kedah ingin mengingatkan, Muhammad Sanusi antara individu yang melanggar SOP dan dikenakan kompaun berkaitan kes pandu uji kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan Autocity Juru, Seberang Perai, 5 Jun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Firdaus menggesa kerajaan negeri memperuntukkan bantuan kewangan ke hospital di seluruh negeri ini bagi membeli kelengkapan tambahan hospital seperti katil, tabung oksigen, kontena dan sebagainya dalam usaha menambah baik pengurusan pandemik Covid-19.



“Merujuk kepada statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, sebanyak 53,474 kes Covid-19 dicatatkan di Kedah dengan 22 kes kematian baharu dilaporkan pada Jumaat.

‘Memandangkan sebelum ini, Muhammad Sanusi dengan bangganya umumkan kemasukan pelaburan asing (FDI) yang diluluskan cecah RM42.4 bilion pada suku pertama tahun ini, wajarlah peruntukan lebih diberikan untuk menaik taraf fasiliti bagi menangani Covid-19,” katanya.

Isu kontena jenazah: Lawak MB Kedah ‘amat menjengkelkan’


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Tarik sokongan Muhyiddin, PN bukan keputusan Zahid



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker