Polis siasat penganjur, peserta perhimpunan #Lawan

Polis siasat penganjur, peserta perhimpunan #Lawan

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan terhadap pihak penganjur dan peserta perhimpunan #Lawan hari ini, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah.

Zainal berkata, meskipun perhimpunan itu diadakan secara aman namun ia tetap melanggar larangan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana negara masih lagi berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tiada mana-mana pihak yang boleh berhimpun.

“Kita akan ambil tindakan susulan kemudian kerana ketika negara masih dalam tempoh PKP dan PPN tidak ada sesiapa dibenarkan terlibat dengan sebarang perhimpunan walaupun ia perhimpunan aman,” katanya ketika sidang media.

Ratusan individu berpakaian hitam berkumpul di luar Masjid Jamek untuk berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan.

Polis menutup beberapa laluan masuk ke Dataran Merdeka susulan tunjuk perasaan itu yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beberapa penunjuk perasaan menggendong ‘mayat’ berkafan, merujuk kepada kematian akibat wabak Covid-19.
Ramai dalam kalangan penunjuk perasaan membawa kain rentang dan plakad yang tertera “Kerajaan Gagal”.

Teriakan “Tolak Muhyiddin”, “Letak Jawatan” dan “Bangkit Rakyat” bergema ketika para penunjuk perasaan mula bergerak menuju Dataran Merdeka.

Seorang penunjuk perasaan menyeru mereka yang berkumpul untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Naib Presiden PKR Tian Chua adalah antara ahli politik yang hadir, katanya sebagai tanda solidariti dengan para penunjuk perasaan, yang kebanyakannya golongan belia.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu memberitahu FMT, beliau ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia dan golongan belia bersuara menentang ketidakadilan dan mendorong perubahan di Putrajaya.

“Kita sedang melihat kemunculan gelombang baharu aktivisme belia. Ini adalah sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya ketika ditemui.

Dataran Merdeka ‘milik rakyat’

Setibanya kumpulan penunjuk perasaan di Dataran Merdeka, polis menyekat kemaraan mereka ke dalam kawasan itu.

Seorang pegawai di perhimpunan berkenaan memberitahu FMT, Dataran Merdeka adalah “kawasan yang diwartakan dan memerlukan izin daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)”.

Ratusan lagi telah menyertai para penunjuk perasaan yang mula berkumpul pada 11 pagi, dengan penganjurnya mendakwa lebih 1,000 hadir.

Di Telegram, kumpulan sembang “#Lawan Malaysia berkata, ia kini sedang berunding untuk mendapatkan kebenaran memasuki Dataran Merdeka.

Penunjuk perasaan #Lawan menunggu di persimpangan lalu lintas setelah dihalang memasuki kawasan Dataran Merdeka.
“Dataran keramat milik rakyat,” katanya.

Penunjuk perasaan #Lawan turut menggesa pengguna media sosial untuk membantu mereka memasuki Dataran Merdeka dengan memberi “tekanan” terhadap pihak polis menggunakan tanda pagar #BukaDataran.

Selain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan keseluruhan Jemaah Menterinya meletak jawatan, penunjuk perasaan turut menyeru agar sidang Parlimen diadakan secara penuh dan moratorium pinjaman automatik diberikan kepada semua.

Tunjuk perasaan berakhir pada 12.40 tengah hari tadi, dengan para peserta bersurai secara aman. FMT

Polis siasat penganjur, peserta perhimpunan #Lawan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buktikan sokongan majoriti di Parlimen jalan terakhir PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker