Kanak-kanak rentan didera secara seksual

Kanak-kanak rentan didera secara seksual

LONDON: Majlis Perbandaran Lambeth di selatan di London didakwa mengabaikan kanak-kanak rentan bawah jagaannya sehingga ratusan jadi mangsa penderaan seksual.

Siasatan selama beberapa tahun mendapati kanak-kanak berkenaan diperlakukan sebagai ‘tidak berharga’ dan terdedah kepada pesalah seks termasuk dalam kalangan kakitangannya.

Skandal penderaan kanak-kanak yang didedahkan semalam itu disifatkan sebagai terburuk di Britain.

Menurut laporan, kanak-kanak yang menghuni pusat jagaan dan asuhan dikendalikan Majlis Perbandaran Lambeth itu diperkosa, dicabul dan didera kakitangannya yang merasakan diri mereka ‘kebal’ kerana budaya kerja saling melindungi.

Siasatan dilakukan oleh Inkuiri Bebas Penderaan Kanak-Kanak (IICSA) yang ditubuhkan pada 2015 selepas beberapa skandal penderaan seks berprofil tinggi.

Antara kes yang paling menonjol membabitkan juruhebah BBC dan juruacara televisyen, Jimmy Savile.

Siasatan itu menumpukan kepada kes di pertubuhan dan institusi gagal melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual.

Majlis Perbandaran Lambeth turut disiasat berhubung salah laku itu di lima unit kediaman kanak-kanak, yang berterusan selama beberapa dekad sejak 1960-an.

Ia mendakwa petugas ‘memperlakukan kanak-kanak dalam jagaan seolah-olah mereka tidak berharga’ dan pihak pengurusan tidak menghiraukan mereka serta tidak mempercayai aduan mengenai penderaan.

Majlis itu hanya mengambil tindakan disiplin ke atas kakitangan kanan selepas 705 aduan diterima daripada bekas penghuni rumah kanak-kanak itu dan mereka yang berada dalam jagaannya, menurut laporan itu.

Setiausaha siasatan, John O’Brien, berkata ia satu-satunya laporan di mana beliau terpaksa mengambil masa kerana setiap tuduhan amat menjijikkan.

Malah, seorang kakitangan terus dikekalkan walaupun rekod penderaan seksualnya terhadap kanak-kanak terbongkar pada 1970-an dan kemudian disabitkan dengan 34 pertuduhan penderaan seksual kanak-kanak.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa kes sebenar mungkin lebih tinggi dan mengesyorkan polis mempertimbangkan siasatan jenayah terhadap kematian seorang kanak-kanak lelaki di salah satu rumah jagaan pada 1977.

Kata O’Brien, sejak 1980-an, kanak-kanak menjadi taruhan dalam permainan kuasa politik, ketika kerajaan tempatan terperangkap dalam pertembungan dengan kerajaan pusat Konservatif Margaret Thatcher, Perdana Menteri UK ketika itu.

Majlis Perbandaran Lambeth membuat permohonan maaf dan menerima hasil laporan itu, yang menyusuli beberapa siasatan lain mengenai penderaan seksual, kegagalan institusi dan cubaan menutup kes di UK.

IICSA akan membentangkan laporan akhir yang merangkumi hasil lebih puluhan inkuiri kepada Ahli Parlimen menjelang musim panas depan.

Bekas jurulatih bola sepak remaja Manchester City, Barry Bennell, dijatuhi hukuman 34 tahun kerana melakukan penderaan seksual sejak 1970-an.

Dalam kes yang paling terkenal, Carl Beech mendakwa ahli politik kanan dan anggota keselamatan merogol serta mencabulnya pada 1970-an dan 1980-an, menyebabkan polis membuka siasatan.

Bagaimanapun dia dipenjara selama 18 tahun pada 2019 kerana memutar belitkan fakta mahkamah, menipu dan memiliki gambar tidak senonoh selepas pembohongannya terbongkar. BH

Kanak-kanak rentan didera secara seksual


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal Raih Mata Tertinggi, Pandelela Sebut ‘Babi’ (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker