Kami buat demi pesakit, bukan orang atas

Kembali merawat lepas protes: ‘Kami buat demi pesakit, bukan orang atas

Ramai doktor kontrak yang menyertai protes pagi ini telah kembali menyambung tugas mereka untuk merawat pesakit.

Ia termasuk mereka yang bertugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang – dua fasiliti utama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk merawat pesakit wabak itu.

Perkara ini disahkan penganjur gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) tengah hari tadi.

“Ya, semua doktor yang sertai hartal telah kembali bertugas sebaik protes tamat,” kata seorang wakil HDK.

Pada minggu lalu, HDK menggariskan prosedur bagi menjamin protes tersebut tidak menjejaskan penjagaan pesakit di hospital.

Menurut wakil itu, HDK menganggarkan antara 5,000 hingga 8,000 doktor menyertai protes ini yang diadakan di hospital di seluruh negara. Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas anggaran tersebut.

Sementara itu, beberapa pegawai perubatan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka kembali bertugas selepas protes kerana tidak mahu keadaan pesakit terabai.

Mereka yang rata-rata berusia lewat 20-an berkata, walaupun mereka ingin memperjuangkan keselamatan pekerjaan dan masa depan yang lebih baik, pesakit tetap menjadi keutamaan.

“Mengapa saya kembali bertugas? Pastinya kerana keutamaan kita adalah pesakit. Pesakit sentiasa di tempat pertama,” kata doktor di Hospital Sungai Buloh itu ketika dihubungi.

Malaysiakini menganggarkan kira-kira 100 orang menyertai protes di hospital itu pagi tadi.

Menurutnya, peserta di hospital itu juga telah membahagikan kumpulan di kalangan mereka dan mengadakan protes secara bergilir.

Ia bagi memastikan terdapat pegawai perubatan yang cukup di dalam hospital, katanya lagi.

“Saya protes selama kira-kira 15 hingga 20 minit. Saya dalam kumpulan kedua. Selepas itu, kami semua kembali bekerja sebab tak cukup doktor,” katanya.

Seorang lagi doktor yang menyertai protes di Maeps, berkata seramai kira-kira 100 orang kakitangan yang sedia untuk keluar protes pagi tadi.

Dia berkata, mereka telah membuat aturan dengan doktor senior dan doktor berjawatan tetap untuk bertugas ketika protes dilakukan.

Bagaimanapun, rancangan mereka tergendala apabila pengarah kemudahan itu mengancam mereka akan ditahan polis jika ia diteruskan.

“Walkout sepatutnya dibuat. Pakar dan perunding kami sudah pun di dalam dan bersedia (untuk ambil alih tugasan).

“Tapi pengarah tak bagi. Jadi kami tunjukkan solidariti dengan pegang plakad, ambil gambar dan naikkan di media sosial sebelum kembali bekerja,” katanya yang sudah menjadi doktor kontrak lebih tiga tahun.

Dia menekankan bahawa satu-satunya sebab mereka terus berkhidmat adalah pesakit mereka.

“Apa saja yang kami buat sekarang bukan lagi kerana orang atasan. Ini untuk pesakit kami.

“Sejujurnya, situasi dengan orang atasan kami sangat mengecewakan,” katanya lagi.
Mk

Kami buat demi pesakit, bukan orang atas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tanpa desakan UMNO, mustahil darurat ditamatkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker