15 doktor berhenti sejak 2 minggu lalu

15 doktor berhenti sejak 2 minggu lalu. Peningkatan ketara jangkitan Covid-19 sehingga mencatat kes positif tertinggi dalam negara baru-baru ini menyebabkan limpahan pesakit di hospital awam, khususnya di Lembah Klang.

Keadaan itu memberikan tekanan berat ke atas pekerja kesihatan yang sebelum ini pun sudah berdepan dengan isu kelecuhan (burnout) dan mendorong sesetengah daripada mereka memilih untuk meletakkan jawatan masing-masing.

Menurut salah seorang daripada mereka, ada sekurang-kurangnya 15 doktor di sekitar Lembah Klang berhenti daripada berkhidmat hanya dalam tempoh dua minggu lalu.



Doktor terbabit – yang enggan didedahkan identitinya – juga menunjukkan beberapa surat peletakan jawatan yang dimaksudkannya kepada Malaysiakini.

Dia juga mengesahkan dakwaan kumpulan pendesak, Hartal Doktor Kontrak, yang melobi kepada kerajaan agar kakitangan perubatan bertaraf kontrak dilayan dengan lebih baik.

 

Antara alasan yang diberikan untuk tindakan tersebut ialah kelecuhan dan masa depan yang tidak terjamin di sebalik usaha bertungkus-lumus yang diberikan mereka untuk merawat pesakit Covid-19.



Hartal Doktor Kontrak turut berkongsi gambar surat peletakan jawatan tersebut melalui ciapan mereka di Twitter.

“Satu lagi notis peletakan jawatan 24 jam. Seorang demi seorang meninggalkan medan. Mana (pihak) atasan mereka?

“Tak tahu atau tak nak ambil tahu? Masih memberi alasan? Atau lemas dalam air suam?” ciap akaun itu.

Doktor kontrak yang berkhidmat di hospital awam berdepan dengan kemungkinan kehilangan pekerjaan selepas menjalani latihan selama lima tahun.





Hal itu kerana kurangnya pengambilan atau penyerapan mereka ke jawatan tetap kerana kekangan perbelanjaan kerajaan.

Justeru sekumpulan doktor kontrak merancang mengadakan hartal sehari pada 26 Julai ini untuk mendedak kerajaan menawarkan penyelesaian. Menjelang detik itu ada antara mereka yang berundur lebih awal.

Kerajaan Perikatan Nasional pada 12 Julai lalu menyatakan mereka akan membentangkan langkah bagi mengatasi masalah itu, namun belum ada sebarang cadangan yang dikemukakan setakat ini.

Sehingga semalam jumlah pesakit Covid-19 meningkat lebih daripada dua kali ganda iaitu daripada 67,447 orang menjadi 137,587 orang hanya dalam tempoh 17 hari.



15 doktor berhenti sejak 2 minggu lalu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Covid-19 terus ‘menggila’ di Indonesia



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker