Ubah TH kepada sebuah ‘bank’ risiko tidak cermat

Sebaran :

 

Ubah TH kepada sebuah ‘bank’ risiko tidak cermat. Pada 15 Julai 2021 Jemaah Menteri telah memutuskan untuk mengubah status Tabung Haji kepada institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).

Yang mengejutkan semua pihak adalah perubahan ini dilakukan tanpa konsultasi dengan semua pihak berkepentingan (pemegang taruh).

Awam mengetahui bahawa sejak kebelakangan ini Tabung Haji menghadapi pelbagai ujian di sudut pengurusan dan pelaburan. Walaubagaimanapun di dalam kekalutan yang wujud, tujuan asal penubuhan Tabung Haji mencapai objektif membantu dan menguruskan urusan haji umat Islam di Malaysia tampak masih konsisten dan tahap terbaik di peringkat antarabangsa.

Jika dilihat urusan mendapatkan kuota, menguruskan jemaah, membantu jemaah menyimpan bagi urusan haji dijalankan dengan penuh saksama dan hebat. Di mata dunia Islam, mutawwif kita di bawah latihan dan seliaan Tabung Haji cekap dan kompeten. Di sudut ini tabung haji telahpun melaksanakan tujuan dan tanggungjawabnya dengan jaya.



Tabung Haji juga meletakkan subsidi-subsidi yang tinggi bagi menampung kos menunaikan haji setiap tahun bagi memastikan rakyat Malaysia mampu menunaikan haji setiap tahun walaupun simpanan di dalam Tabung Haji tidak mencukupi bagi keseluruhan kos haji. Kos subsidi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Tabung Haji menggunakan pulangan daripada pelaburan yang dilakukan oleh Tabung Haji.

Selain itu, sifat Tabung Haji sebagai tabungan bagi umat Islam melaksanakan haji mempunyai sebuah sisi lain melibatkan urusan simpanan tunai bagi melaksanakan haji (simpanan atas akad wakalah) dan memberikan hasil pelaburan daripada simpanan tunai di dalam bentuk dividen tunai yang dikreditkan ke akaun setiap pendeposit. Hasil pelaburan tunai tersebut bertujuan sebagai bantuan tambahan kepada pendeposit bagi mencukupkan keperluan kos haji pendeposit tersebut.

Tidak dinafikan, dividen Tabung Haji juga merupakan antara dividen yang dinanti-nantikan oleh ramai umat Islam, malah boleh dikatakan bahawa harta umat Islam teramai terkumpul di Tabung Haji. Data pada tahun 2020 mencatatkan pendeposit Tabung Haji seramai 9 juta orang, dan hanya Amanah Saham Berhad berjaya memintas Tabung Haji sebanyak 10.2 juta pemegang unit sahaja. Namun sekiranya kita menganggarkan bahawa hanya 60 peratus (berdasarkan congakan populasi rakyat Malaysia) daripada 10.2 juta orang pemegang unit ASB adalah muslim, maka jelas bahawa bilangan pendeposit Tabung Haji mengatasi bilangan pemegang unit ASB yang dianggarkan muslim sebanyak 50 peratus (anggaran 3 juta) menjadikan Tabung Haji sebagai aset simpanan umat Islam yang paling signifikan. Tambahan dengan usaha Tabung Haji membayarkan zakat bagi pihak pendeposit menjadikan dividen Tabung Haji lebih menarik daripada dividen pelaburan yang lain.

Persoalan yang timbul, mengapa perlu di bawah Bank Negara Malaysia dan di bawah akta yang spesifik seperti IFSA dan FSA?. Keputusan Jemaah Kabinet tersebut menyaksikan empat (4) persoalan kritikal dan penting tidak dijawab terlebih dahulu seperti berikut:



1. Adakah kedudukan dan segala fungsi Tabung Haji dapat dilaksanakan di bawah IFSA dan FSA? Sedangkan limitasi IFSA dan FSA yang mengehadkan perniagaan kepada sektor kewangan, malah melarang pelaburan terus ke dalam sektor hartanah, pertanian, perhotelan dan seumpanya melainkan melalui pengurus dana lain bakal mengehadkan potensi Tabung Haji. Malah yang lebih menakutkan, penerangan terperinci berkaitan impak Tabung Haji diletakkan di bawah IFSA dan FSA tidak didebatkan dan dinyatakan dengan jelas. Apa akan terjadi kepada fungsi membangunkan harta umat Islam melalui pelbagai aset? Apakah impak akta tersebut kepada aset-aset sedia ada Tabung Haji? Adakah semua aset tersebut perlu direkonsiliasi dan dicairkan kerana tidak menepati akta IFSA dan FSA? Adakah perkara ini akan memberi impak negatif terhadap Tabung Haji ataupun positif? Bagaimana pula ingin merawat isu aset yang belum matang dan memerlukan masa untuk melepas ‘j-curve’ di dalam ekuiti persendirian dan hartanah?.

2. Kedua, apa akan terjadi kepada fungsi Tabung Haji membantu jemaah haji umat Islam di mana di dalam logis dan adat perbankan dan kewangan, membantu jemaah haji melalui subsidi akan hanya dilihat sebagai ‘picisan’ CSR yang perlu dilakukan bagi mengelakkan ‘bracket-bracket’ tertentu di dalam percukaian. Malah dividen tambahan kepada mereka yang belum menunaikan haji juga akan dilihat sebagai liabiliti tambahan yang tidak semenggah untuk ditanggung. Perkiraan dividen pula akan ditanda araskan (benchmarked against) instrumen kewangan pendapatan tetap yang lain, sedangkan perkiraan terkini mengambil kira prestasi pelaburan serta keperluan membantu umat Islam menunaikan haji. Adakah keuntungan Tabung Haji akan berjalan seperti bank-bank yang lain? Di manakah kedudukan niat umat Islam yang meletakkan simpanan untuk naik haji ketika itu?

3. Pengurusan Tabung Haji mengagihkan tenaga pekerja dan sukarelawan Tabung Haji melibatkan urusan haji dan mutawwif sebagai ‘core business’, adakah selepas ini akan dikira sebagai liabiliti dan pembaziran tenaga sebuah institusi kewangan? Di dalam dunia institusi kewangan, hakikat yang pahit adalah unit yang menjana keuntungan (business unit) akan dilihat sebagai ‘critical worker’ kepada institusi tersebut dan selainnya akan menjadi kelas kedua sedangkan Tabung Haji sentiasa tidak lokek melaburkan kepada pembinaan mutawwif, menaiktaraf servis haji, dan menguruskan jemaah dengan tahap terhebat walaupun logis dunia kewangan sekular menilai semua ini sebagai kos yang tidak patut dilaburkan! Perubahan akta pasti merubah ‘nature”’ sesebuah organisasi, termasuk perubahan hala tuju lembaga pengarah sehinggalah kepada ‘business conduct’ yang akan dilakukan oleh organisasi tersebut. Adakah selepas ini Tabung Haji hanyalah Tabung/Bank untuk mengumpul dana menunaikan haji dan tidak lagi berperanan sebagai organisasi pengurusan haji yang terutuh di persada dunia Islam!

4. Persoalan keempat, dengan insaf kita memahami bahawa Tabung Haji jauh daripada sempurna dan menghadapi cabaran pengurusan dan pelaburan, adakah meletakkan di bawah Bank Negara Malaysia akan menyelesaikan semua masalah tersebut? Tidakkah wujud organisasi lain yang tidak diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia di bawah akta IFSA dan FSA namun masih mampu memberikan pelaburan yang baik seperti PNB, KWSP, dan Khazanah. Begitu juga kedudukan badan berkanun lain yang mempunyai tahap pengurusan yang cemerlang menggunakan ISO-ISO terkini tanpa perlu diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia. Adakah semua solusi selain meletakkan di bawah Bank Negara Malaysia yang kontroversi telah dipertimbangkan (exhausted all available options)?



Selagi mana empat persoalan ini tidak dijawab, risiko mengubah Tabung Haji kepada sebuah ‘bank’ adalah risiko yang tidak cermat dan tampak terburu-buru. Mengapa perlu terburu-buru di dalam menguruskan sebuah institusi milik umat Islam yang amat kritikal melibatkan rukun Islam ke-5?.

Mengapa terburu-buru, adakah wujud tujuan lain? Jarang perkara terburu-buru berjaya menghasilkan hasil yang baik. Itulah sunnatulah sehingga Nabi berdoa dijauhkan daripada sifat gopoh dan terburu-buru. Tambahan dengan krisis COVID-19, andai kegopohan kita merosakkan Tabung Haji sebagai harta umat Islam, adakah mampu untuk dirawat dibangunkan semula? Penuh dengan risiko yang tidak patut diambil, hasbunallah wani’mal wakeel.

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS) 

Ubah TH kepada sebuah ‘bank’ risiko tidak cermat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib bertempur semula di Mahkamah 5 Oktober


Sebaran :

Leave a Reply