Komputer riba : Kenapa pelajar golongan B40 perlu tunggu sehingga akhir penggal?


Rupanya maksud “dipercepatkan ke Februari” ialah selesai bulan September.

Kerajaan PN akhirnya memberi jawapan bagi status janji 150,000 komputer riba untuk pelajar B40 yang dilulus dalam bajet 2021 dan dikatakan telah dipercepatkan ke bulan Februari.

Status terkini

– 1,000 unit sudah sampai ke tangan pelajar setakat bulan April
– 50,000 unit lagi akan diagih pada bulan Mei 2021
– baki 100,000 unit hanya akan diagih pada bulan September 2021.

Memandangkan komputer riba ini amat diperlukan oleh pelajar B40 pada ketika pandemik Covid ini di mana sekolah-sekolah sering ditutup, saya rasa ada yang tak kena dengan perlaksanaan program ini.

Kerajaan sudah pinjam RM85 bilion dalam tempoh 4 bulan tahun ini dan RM90 bilion pada tahun 2020 lepas. Dividen diterima dari Petronas pula adalah RM34 bilion pada tahun lepas dan RM18 bilion untuk tahun 2021.

Kerajaan nak korek tabung KWAN berjumlah RM16.9 bilion pula.

Khazanah Nasional yang merupakan agensi utama program komputer riba ini ada aset sekurang-kurangnya bernilai RM80 bilion.

Jadi saya rasa ini bukan masalah kesukaran membiayai kos RM150 juta untuk membeli 150,000 komputer riba ini.

Kerajaan BN dahulu mampu memberi berjuta-juta notebook kepada pelajar dalam masa yang singkat.

Kenapa pula sukar untuk kerajaan PN memberi 150,000 unit?

Cara kerajaan BN buat dahulu ialah memberi spesifikasi notebook minima dan melaksanakan perolehan melalui open tender.

Hasilnya ialah puluhan syarikat pembekal di seluruh negara terpilih dan memberi menghantar komputer riba terus kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau kepada sekolah dalam masa yang singkat.

Ianya sukar untuk percaya bahawa semua pembekal komputer riba dalam Malaysia tak mampu membekal 150,000 unit kepada kerajaan dalam masa yang singkat dan perlu tunggu masa sehingga 9 bulan untuk stok sampai.

Jadi, besar kemungkinan bahawa keadaan sekarang ialah pembekal yang terpilih (ada open tender ke tidak?) adalah syarikat yang tidak mampu membekal dan tidak dapat memenuhi syarat perolehan.

Jika begitu, kenapa kerajaan PN tidak pilih pembekal yang lain atau buat open tender seperti kerajaan BN dahulu?

Kenapa pelajar-pelajar golongan B40 perlu tunggu sehingga hampir akhir penggal sekolah tahun 2021 sebelum menerima komputer riba yang amat diperlukan mereka untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?

Yang mana lebih penting bagi kerajaan PN? Pembekal terpilih yang gagal memenuhi keperluan atau 150,000 pelajar golongan B40?

Najib Razak

Komputer riba : BN bagi percuma, PN bagi pinjam saja

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker