Keluarga B40 terpaksa catu makan, bergelut teruskan hidup

 

Keluarga B40 terpaksa catu makan, bergelut teruskan hidup. Ia adalah tahun paling sukar buat kebanyakan keluarga B40 untuk memastikan bekalan makanan dapat disediakan ketika mereka hilang pekerjaan atau gaji terpaksa dipotong akibat pandemik.

Seorang pemandu lori, Mohammad Mahhadir berkata sumber pendapatan yang berkurangan menyebabkan dia sukar menyara keluarga selepas perjalanan lori dikurangkan kepada hanya sekali seminggu saja.

“Covid-19 memberi kesan teruk terhadap kehidupan kami. Memandangkan saya hanya bekerja sekali seminggu, kami terpaksa mencatu bekalan makanan untuk berjimat. Kebanyakan masa, kami hanya menikmati nasi goreng kampung atau nasi goreng bawang. Selagi ia boleh mengisi perut, ia sudah cukup untuk kami,” katanya kepada FMT.

Mohammad yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, berkata keluarganya bergantung kepada sumbangan makanan dan menganggap diri mereka bernasib baik sekiranya menerima barang basah seperti ikan dan sayur.

Lelaki berusia 31 tahun itu berkata wang simpanan mereka digunakan untuk membeli keperluan asas untuk tiga anak seperti susu dan lampin.

Pemandu lori Mohammad Mahhadir yang kelihatan bersama isteri dan tiga anak mereka mengalami kesukaran apabila pendapatan keluarga itu semakin berkurangan akibat pandemik Covid-19. (Gambar Muhammad Rabbani Jamian)

“Walaupun kami menyimpan sebanyak wang yang boleh untuk membeli susu dan lampin anak, ia masih tidak mencukupi. Kami masih perlu mencatu susu kerana ia agak mahal,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad berkata dia bersyukur kerana penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa menghulurkan sumbangan makanan dan keperluan asas kepada mereka.

“Tanpa mereka, saya tidak tahu bagaimana untuk kami meneruskan hidup. Mereka amat membantu keluarga ini dan saya amat bersyukur. Walaupun agak sukar, tetapi selagi anak dan isteri sihat, ia tidak begitu menjadi masalah,” katanya.

Md Nasir Abdul Ghani, 60, yang tinggal di kawasan sama berkata dia sukar mendapatkan pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Nasir, yang melakukan kerja pendawaian, berkata dia kehilangan semua pelanggannya akibat pandemik Covid-19.

Bekas pegawai tentera laut itu berkata keluarganya hanya bergantung kepada sumbangan makanan daripada NGO yang melawat PPR itu pada setiap minggu.

“Keadaan amat sukar untuk keluarga kami. Isteri baru saja melahirkan anak sebulan lalu dan kami perlu menjaga tiga anak lagi. Salah seorangnya mengalami cerebral palsy.

“Tanpa bantuan NGO, kami tidak dapat mengisi perut. Mereka menyediakan barangan makanan asas seperti tepung, beras, telur dan sardin dalam tin. Ia adalah makanan biasa yang kami nikmati setiap hari,” katanya.

Nasir berkata bekalan makanan yang ada pun tidak mencukupi buat seluruh keluarga itu, apatah lagi untuk mencatunya.

Menurut seorang ahli ekonomi Madeline Berma, pandemik Covid-19 menjejaskan keselamatan nutrisi dan makanan sebagai kesan mengejut terhadap ekonomi, gangguan sistem makanan dan jurang liputan perkhidmatan penting kesihatan dan nutrisi.

Madeline, yang juga pesuruhjaya Suhakam, berkata kebanyakan isi rumah B40 hanya mampu membeli barangan yang ditawarkan pada harga rendah, membeli makanan secara kredit serta mendapatkan sumbangan dan meminjam wang daripada saudara atau jiran.

Pada masa sama, dia berkata mereka akan mengurangkan pengambilan makanan dan menggantikan makanan segar dengan makanan tin untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Pengurangan pendapatan di kalangan keluarga B40 memberi kesan terhadap peningkatan pengambilan sumber kalori murah (makanan proses tidak sihat), mengurangkan bilangan hidangan yang seterusnya mendorong kepada corak pemakanan dan kemusnahan kualiti dalam diet mereka. Ini juga menyebabkan peningkatan masalah kekurangan zat bagi ibu mengandung dan kanak-kanak,” katanya.

Madeline berkata Putrajaya harus memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutama yang diketuai oleh wanita, Orang Asli dan syarikat milik keluarga dengan pelaburan kerajaan, dasar dan amalan perolehan terbina yang menyokong sumber kaya nutrisi tempatan dan serantau.

Tambahnya, kerajaan juga perlu memperkukuhkan sistem sokongan bagi komuniti B40 untuk membina bank makanan bagi membantu mereka mendapatkan sumber makanan diperlukan.

Keluarga B40 terpaksa catu makan, bergelut teruskan hidup


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PRU-15: Adakah PH akan berkuasa semula?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker