Aprena Manrose tertekan menanti zuriat

Aprena Manrose tertekan menanti zuriat

Barangkali, susuk tubuh kecil molek dan wajah manis mewarisi kejelitaan arwah ibunya, ramai menyangka pelakon, Aprena Manrose, 28, masih berstatus anak dara.

Malah, ada yang tanpa rasa bersalah menegur gambar mesra yang dimuat naik pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita itu bersama suami, Mohd Afiq Hazman dianggap melanggar batasan sebagai orang Islam.



Nyata, memegang status selebriti selepas mendirikan rumah tangga juga tidak kurang cabarannya. Namun, dek darah seni yang mengalir dalam tubuhnya, anak bongsu pasangan selebriti, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan bekas penyanyi dangdut, Iwan arif menepis dugaan yang datang mengujinya.

Aprena yang sudah lima tahun berumah tangga mendedahkan, dia sering disangka belum berkahwin, malah tidak ketinggalan menerima mesej berbau lucah daripada lelaki ‘miang’ melalui mesej langsung dalam akaun Instagram.

“Saya sering menerima mesej lucah yang memualkan daripada pengikut Instagram (IG). Namun, saya lebih gemar mengabaikan atau memadamnya sahaja. Itu cara terbaik untuk menepis mesej bukan-bukan dihantar.

“Disebabkan belum ada rezeki menimang cahaya dan mungkin wajah saya dan suami kelihatan muda di mata pengikut menyebabkan saya disangka belum berkahwin hingga mendorong mereka menghantar mesej bukan-bukan.



“Ada juga menasihati saya supaya menjaga batas bersama suami yang disangka teman lelaki. Ada kala, saya sengaja mengusik suami dengan berkongsi mesej lelaki yang cuba mengurat.

“Tetapi, suami selalunya buat tidak tahu, mungkin enggan melayan perasaan kerana perkara ini tidak elok untuk perhubungan suami isteri,” katanya kepada BH Online.

Aprena kini muncul dalam drama bersiri, Hatimu Sedingin Salju terbitan Orangetree Production Sdn Bhd menemui penonton di slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 petang di TV3.



Bekas graduan Diploma Penyiaran & Perfileman, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu berkata, dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami dan mengizinkannya meneruskan legasi arwah ibunya sebagai pelakon.

Namun, katanya, dia terlebih dahulu akan berbincang dengan suami mengenai kesesuaian watak diberikan, sebelum bersetuju menerima tawaran lakonan.

Aprena berkata, suami jarang menonton drama lakonannya, namun yakin akan menonton drama Hatimu Sedingin Salju.

“Saya yakin suami beri sokongan. Ini kerana heronya, Hisyam Hamid profesional dan menghormati statusnya sebagai isteri apabila meminta keizinan suami untuk bergandingan dengan saya.



“Sebagai wanita berstatus isteri, apa sahaja tawaran diterima akan dibincangkan bersama suami. Selain itu, saya sendiri sering beringat dan menjaga batasan ketika berlakon. Lagipun, tahap mana sangat lakonan di Malaysia, tiada babak yang keterlaluan.

“Selain itu, TV3 sangat menitik berat batasan lakonan, lebih lagi, heroin yang sudah berumah tangga. Mana babak yang boleh mendatangkan isu, biasanya ia tidak akan lepas. Antara pelakon juga saling menghormati antara satu sama lain dan cuba elak babak menjengkelkan,” kata Aprena.

Menebak sisi peribadi, nyata belum ada rezeki adik Octovia Manrose itu menimang cahaya mata, walaupun lima tahun melayari bahtera rumah tangga.

Jauh di sudut hati tentulah Aprena mempunyai keinginan memiliki cahaya mata sendiri, apatah lagi, terusik melihat pasangan suami isteri lain begitu bahagia menggendong dan melayan keletah anak-anak.



Diakui, perasaan tertekan pasti menghantui diri, namun sentiasa percaya kepada qada dan qadar. Mungkin terselit hikmah di sebalik penantiannya itu.

Aprena berkata, pelaksanaan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi hikmah buatnya. Jika tidak, sentiasa sibuk dengan urusan kerja hingga sering menangguh untuk menjalani rawatan kesuburan.

Tetapi, katanya, dia dapat memberikan fokus sepenuhnya menjalani rawatan kesuburan untuk mendapatkan zuriat pada fasa pertama PPN.

“Saya memang tertekan, tetapi tidaklah sensitif sehingga langsung tidak boleh ditanya soal zuriat. Saya sudah lali menjawab pertanyaan ini. Apabila hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, tentulah saya mahukan anak sendiri.



“Saya sudah lama teringin mempunyai cahaya mata, tetapi belum ada rezeki. Saya juga tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya percaya perjalanan hidup seseorang sudah disusun cantik.

“Sebenarnya saya bersyukur fasa satu PPN dilaksanakan, sekali gus penggambaran juga terpaksa ditangguhkan. Selama ini, saya sentiasa sibuk hinggakan saya mula gelisah apabila ada masa terluang sehari dua duduk rumah. Kesibukan kerja juga menyebabkan saya terlupa mengenai soal zuriat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apabila fasa satu PPN dilaksanakan dan dinasihatkan duduk di rumah, itulah masanya digunakan untuk ke hospital bagi mencari perubatan sesuai bagi mendapatkan anak.

“Saya kini sedang menjalani rawatan kesuburan dengan sebuah hospital swasta di Shah Alam, tetapi apakah rawatannya, saya akan berkongsi selepas berjaya,” katanya yang menjalani rawatan sejak bulan lalu.

Aprena berkata, dia belum pernah menerima kecaman seperti dilalui pelakon Siti Elizad Sharifuddin.

Simpati dengan nasib menimpa Siti Elizad, Aprena bersyukur pengikutnya sering memberikan kata semangat positif.

“Disebabkan sedang berusaha mendapatkan zuriat, saya juga terpaksa menangguhkan suntikan vaksin bagi pencegahan COVID-19. Saya bimbang ia boleh mengganggu perjalanan proses rawatan,” katanya.

Tampil berselendang pada sesi sidang media secara virtual drama Hatimu Sedingin Salju, Aprena turut diajukan mengenai imej terbaharunya itu.

Katanya, hasrat berhijab memang ada, malah cuba mengenakan tudung dan belajar mengaji sejak hampir dua bulan lalu.

Namun, enggan mengulas lanjut, Aprena mohon peminat mendoakannya.

“Insya-Allah, doakan saya. Buat masa ini, saya tak mahu komen apa-apa. Apabila tiba masanya, saya sendiri akan beritahu.

“Jujurnya, saya sedang belajar memakai tudung sejak Ramadan lalu. Lagipun, saya memang berehat daripada mengambil projek drama.

“Memang niat mahu bertudung pada bulan puasa. Secara kebetulan tidak bekerja, jadi saya cuba memakainya.

“Setakat ini, saya tidak boleh nak ulas apa-apa, memandangkan menerima tawaran watak tidak bertudung. Dan ia juga sudah dipersetujui sebelum saya memasang niat mahu bertudung lagi. Jadi, berilah saya peluang belajar perlahan-lahan,” katanya. BH


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zarina Anjoulie nak saman pegawai polis wanita

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker