PRU-15 boleh diadakan, jika kadar kebolehjangkitan 0.5

 

PRU-15 boleh diadakan, jika kadar kebolehjangkitan 0.5. Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan sekiranya negara mencapai imuniti kelompok apabila 80 peratus rakyat mendapat suntikan vaksin Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan (R-naught) pada tahap 0.5.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selagi mana belum mencapai kedua-dua tahap itu, pilihan raya sama ada PRU ataupun pilihan raya negeri (PRN) tidak boleh diadakan demi mengelakkan situasi lebih serius.

Katanya, semua pihak perlu mengambil iktibar PRN Sabah dan pilihan raya di India yang menyaksikan jangkitan meningkat dan jumlah kematian mendadak selepas itu.

“Negara boleh menghadapi situasi lebih teruk berbanding hari ini atau dua kali ganda sekiranya gagal mengambil iktibar kesilapan lalu apabila kesannya masih dirasai sehingga bersambung lagi ledakan gelombang ketiga,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Osman Sapian berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan PRU-15 mungkin diadakan menjelang akhir tahun ini.

Osman berkata, ia dinyatakan Presiden Bersatu itu ketika mesyuarat parti peringkat negeri ini yang diadakan secara maya pada 16 Jun lalu.

Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat menambah, jika mahu tetap diadakan PRU-15 ekoran ketidaktentuan politik semasa, beliau mengesa agar kempen pilihan raya dilakukan secara norma baharu dengan aktiviti ceramah dan kempen secara dalam talian.

Katanya, perkara berkenaan termasuklah membabitkan soal penamaan calon dan pengundian.

“Jika kita biarkan kaedah tradisional dengan turun padang manakala pengundian secara bersemuka, ia boleh menyebarkan lebih banyak jangkitan,” katanya.

Dalam nada sama, Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Arifin Omar berkata, soal utama perlu dilihat adalah kadar jangkitan kes pada hujung tahun sama ada masih tinggi atau rendah sebelum mahu mengadakan PRU-15.

“Selain itu kena tingkatkan suntikan vaksin, kerana ia menjadi penentu kadar jangkitan pada masa akan datang. Lagi ramai terima suntikan, maka lagi kurang jangkitan kes,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat, peratus rakyat keluar mengundi dijangka menurun kerana mereka tidak sanggup menanggung risiko untuk keluar mengundi.

Katanya, tidak dinafikan PRU adalah jalan keluar terhadap masalah politik ketika ini, cuma keadaan semasa dilihat tidak mengizinkannya kerana faktor Covid-19.

“Oleh itu semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu berjiwa besar untuk beri fokus kepada masalah Covid-19 dengan segerakan persidangan Parlimen. Jika ada undi tidak percaya sekali pun, kerajaan baharu perlu teruskan mandat sehingga 2023.

“Sekiranya tidak berlaku, kerajaan sedia ada iaitu PN boleh meneruskan mandat sehinggalah penggal Parlimen berakhir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

PRU-15 boleh diadakan, jika kadar kebolehjangkitan 0.5


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ambil tindakan terhadap Zahid – Shahidan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker