Bantu penduduk jual nasi berlauk RM1.50 sebungkus

Bantu penduduk jual nasi berlauk RM1.50 sebungkus

Terkesan dengan bebanan penduduk kampung dan kejiranan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, dua beradik mengambil inisiatif tersendiri dengan menyediakan jualan nasi berlauk dengan harga hanya RM1.50 sebungkus.

Walaupun menyedari keuntungan yang kecil diperoleh, usaha Siti Suhada Salleh, 34, dan Siti Salma Salleh, 32, mengambil kira betapa masyarakat kini sedang berdepan krisis kesihatan dan punca pendapatan.

Siti Suhada yang juga seorang ibu tunggal berkata, dia memulakan jualan nasi berlauk itu selepas sekatan pergerakan (lockdown) dilaksanakan pada awal bulan ini.

Jelasnya, pada permulaannya mereka yang mengambil tempahan dengan menyiarkan iklan di media sosial dan mendapat sambutan baik daripada penduduk sekitar Kampung Alor Tal, Tumpat.

“Perniagaan kecil ini tercetus selepas saya sendiri tidak dapat bekerja sepanjang tempoh lockdown ini. Jadi adik (Siti Salma) ajak niaga nasi berlauk.

“Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan kami terima banyak tempahan. Kemudian ada permintaan supaya kami buka gerai. Kami faham sekarang ini ramai orang terjejas dengan keadaan pandemik dan sekatan pergerakan.

“Jadi bermula kelmarin, kami buka gerai di hadapan rumah untuk mudahkan penduduk berdekatan datang selain mereka yang membuat tempahan awal.

“Bagi tempahan awal dengan kuantiti banyak, kami akan buat penghantaran ke lokasi pelanggan tapi hanya melibatkan kawasan Tumpat,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, satu hantaran Siti Suhada di Facebook mengenai jualan nasi berlauknya tular di media sosial.

Pengguna media sosial rata-rata memuji usaha dan ketekunannya berniaga dengan harga yang murah.

Sebagai rekod, kebiasaannya nasi berlauk di Kelantan dijual dengan harga antara RM2.50 hingga RM6 bergantung jenis lauk.

Nasi berlauk antara makanan popular di Kelantan atau dikenali sebagai nasi campur di luar Kelantan.

Sementara itu Siti Suhada berkata, mereka menyediakan dua jenis lauk iaitu gulai ayam dan gulai ikan selain nasi lemak sebagai menu tambahan.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, sebanyak lima hingga 10 ekor ayam dan sekitar dua kilogram ikan diperlukan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah jualan ini sedikit sebanyak membantu kami mencari pendapatan bagi menampung keperluan keluarga memandang sekarang tidak dapat bekerja,” katanya yang juga pekerja di sebuah syarikat penapis air.

Siti Suhada berkata, dia berharap jualan yang dijalankan ini mampu membantu golongan marhaen di kawasan sekitar untuk mendapatkan juadah itu.

“Setakat ini kami hanya berniaga pada waktu pagi bermula jam 7 pagi hingga nasi habis biasanya dalam jam 9 pagi.

“Kami sendiri tidak menyangka jualan kami ini menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial, kesannya lebih ramai penduduk di sini hubungi saya untuk datang ke gerai dan buat tempahan,” katanya. Mk

Bantu penduduk jual nasi berlauk RM1.50 sebungkus


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tujuh ditahan buat parti dadah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker