Lekas daftar ambil vaksin COVID-19 – Azizulhasni

Lekas daftar ambil vaksin COVID-19 itulah saranan Jaguh berbasikal trek kebangsaan Mohd Azizulhasni Awang sekali lagi menggunakan pengaruhnya di media sosial untuk menyeru orang ramai agar segera mendaftar diri bagi mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Azizulhasni berkata tindakan segera perlu diambil masyarakat kerana vaksin COVID-19 penting bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi juga orang tersayang selain membantu negara membina imuniti berkelompok.

Beliau yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu juga turut berkongsi maklumat kepada orang ramai yang masih meragui status vaksin itu halal atau sebaliknya.

“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan yang pengambilan vaksin ini adalah harus.

“Begitu juga di peringkat antarabangsa, institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib juga telah menfatwakan yang hukumnya juga adalah harus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, Twitter dan Instagramnya hari ini.

Azizulhasni memuat naik hantaran berkenaan selepas selesai menerima suntikan kedua vaksin COVID-19 di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.

Beliau yang ketika ini sedang melakukan persiapan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, sebelum ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 26 Mei lepas di Melbourne, Australia, sewaktu menjalani latihan di sana.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut mengulangi gesaan agar orang ramai menolak teori konspirasi yang banyak berlegar dalam masyarakat ketika ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil itu pernah berkongsi kebaikan pengambilan vaksin COVID-19, termasuk mengajak rakyat Malaysia menolak dakwaan teori konspirasi yang kononnya vaksin mengandungi cip mikro serta agenda membunuh manusia menerusi satu hantaran di media sosial pada 26 Mei lepas.

Azizulhasni dijadual turun beraksi dalam acara kegemarannya keirin dan pecut individu, manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut di Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Setakat semalam, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 dalam hantara di Twitter memaklumkan 5,815, 575 suntikan telah dilakukan melibatkan 4,202,601 bagi dos pertama dan 1,612, 974 lagi untuk dos kedua.

Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba basikal kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom hari ini menerima suntikan dos pertama beliau di lokasi sama.

— BERNAMA

Lekas daftar ambil vaksin COVID-19 – Azizulhasni


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

PKR kata pandangan Hadi mengenai musuh Islam di Malaysia janggal

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker