Kemunculan durian Tupai King
Kemunculan durian Tupai King
Pulau Pinang melahirkan varieti baharu durian selepas nama Tupai 226 didaftarkan secara rasmi pada Februari lalu yang bakal mencabar populariti Musang King.
Varieti yang lebih popular dengan nama durian Tupai King itu dijangka menjadi tarikan terkini dalam kumpulan durian popular seperti Raja Kunyit atau dikenali sebagai Musang King dan Duri Hitam kerana rasanya yang unik.
Pengarah Pertanian negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, varieti dengan nombor pendaftaran D214 itu diperakui secara rasmi oleh Ketua Pengarah Pertanian pada 26 Februari lalu.
Beliau berkata, pendaftaran tersebut dibuat oleh seorang pengusaha kebun durian di Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini pada Mei tahun lalu.
“Setakat ini, dusun pengusaha berkenaan mempunyai 46 pokok dan peminat durian boleh mula merasa durian Tupai 226 yang telah rasmi itu ketika musim durian pada hujung bulan ini dan Julai nanti.
“Namun, kuantiti pengeluarannya terhad ketika ini kerana masih belum banyak pokok,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Bukit Mertajam.
Beliau berkata, durian Tupai King dengan kulit berwana hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk ovat (bujur seperti telur) dengan pangkal membulat dan hujung menajam.
“Ia mempunyai purata berat 2.1 kilogram (kg) dengan purata sebanyak sembilan biji (ulas) bagi setiap buah dan purata berat isi 0.7 kg.
“Isinya berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana selain tahap kemanisan dengan bacaan purata brix 39,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, Mohd. Muhaimin berkata, pihaknya mencatatkan pengeluaran hasil durian di negeri ini secara konsisten tiga tahun kebelakangan ini iaitu 10,491 tan pada 2018, 13,158 tan (2019) dan 14,946 tan (2020).
“Dengan pertambahan tanaman durian dan input pertanian daripada kerajaan seperti baja dan racun kawalan perosak, dijangkakan pengeluaran durian di Pulau Pinang tahun ini sama seperti tahun lalu,” tambahnya.
Anggaran harga cecah RM100 sekilogram
Individu yang mendaftarkan varieti itu, Chew Chee Wan, 53, berkata, durian itu dijangka memberi saingan kepada durian premium sedia ada iaitu Musang King dan Duri Hitam berdasarkan respons diberikan penggemarnya.
“Tupai King sudah ada pelanggan setia sejak 10 tahun lalu, dan rata-rata ‘hantu’ durian mengakui kombinasi rasa manis dan pahit yang tajam memberikan kenikmatan.
“Selepas semakin komersial nanti, saya jangka ia mampu berlawan dengan harga durian Duri Hitam yang ketika ini paling mahal di Malaysia, apatah lagi harga Tupai King semakin meningkat,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Paya Terubong di Relau, Bayan Lepas.
Katanya, pada musim durian tahun lalu dia menjual Tupai King pada harga RM70 sekilogram, Musang King (RM60) dan Duri Hitam (RM100).
“Saya jangka harga durian Tupai King tahun ini mencecah RM100 sekilogram,” katanya.
Katanya, pengeluaran Tupai King dijangka berskala lebih besar dan komersial lima tahun lagi berikutan ramai pekebun durian dari seluruh negara telah mula menanam anak pokok durian itu sejak lebih lima tahun lalu.
“Ketika ini, hanya saya yang mengeluarkan durian Tupai King sejak kira-kira 10 tahun lalu dan tahun lalu menghasilkan 1,000 biji sahaja daripada 16 pokok yang sudah matang.
“Saya jangka lima tahun lagi, ia akan banyak seperti durian lain selepas pokok yang ditanam pekebun mula mengeluarkan hasil,” katanya. K Online
Kemunculan durian Tupai King
Baca Artikel Menarik :
- Cara Islam rawat stres
- Suami isteri jual pau RM1 bagi teruskan kelangsungan hidup
- ‘Saya akan cari orang yang beria malukan saya’ – Amaran Tajuddin pada pengkritiknya
- Darurat: Jawatankuasa Khas patut nasihat Agong, bukan Kabinet
- Resepi Kari Ayam Kapitan
- Resepi Fettucine Carbonara Udang dan Cendawan
Layari Laman Facebook MYKMU NET
P. Pinang durian berlambakan, Lembah Klang durian harga Yahudi
You must be logged in to post a comment.