Cara Islam rawat stres

Sebaran :

Cara Islam rawat stres

Cara Islam rawat stres

Masalah mental atau gangguan emosi dan pemikiran seseorang, seringkali terjadi dalam kehidupan kita. Keluarga dan pekerjaan seterusnya keadaan persekitaran merupakan faktor utama yang membawa gejala kerungsingan sehingga menjadi tegang atau stres.

Pandemik Covid-19 tidak terlepas daripada faktor yang mempengaruhi kesejahteraan mental seseorang. Dalam laporan Kementerian Kesihatan mendapati mereka yang memerlukan dokongan untuk kesihatan mental bagi empat bulan pertama tahun ini melebihi jumlah yang diperlukan untuk seluruh tahun 2020.

Antara penyebab stres ialah kehilangan pekerjaan, bekerja dari rumah, kematian orang tersayang dan faktor rumah tangga. Stres boleh mengakibatkan gangguan mental seperti murung, bertindak agresif, hilang kepercayaan terhadap diri sendiri, mudah marah, mengasingkan diri, hilang keceriaan dan sebagainya. Lebih parah ia boleh membawa risiko tinggi yang sangat berbahaya iaitu bunuh diri.

Menurut pandangan Islam

Menurut pandangan Islam, stres bukanlah berpunca daripada tekanan mental semata-mata. Punca tekanan itu sebenarnya dari dalaman hati dan jiwa seseorang yang jauh dari sentuhan iman dan tidak mesra hubungan dengan Allah SWT.

Manusia diciptakan daripada dua rangkaian, yang pertama Roh dan kedua Jasad. Firman Allah SWT: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (al-Hijr: 28-29).

Jasad perlu makanan bergizi agar sihat dan cergas dalam beraktiviti. Demikian juga roh memerlukan sentuhan iman agar sihat kuat dan cergas berhadapan dengan masalah tekanan mental seperti stres atau gangguan emosi.

Sebagai seorang mukmin, kita mesti yakin bahawa Allah SWT menjanjikan kehidupan yang sejahtera bagi mereka yang beriman dan beramal saleh.

Firman Allah: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (an-Nahl: 97)

Terdapat beberapa panduan dalam Islam untuk menangani stres dari aspek kerohanian, di antaranya:

Meluahkan perasaan.

Ada kalanya menceritakan permasalahan kita kepada orang lain akan melegakan hati dari tekanan. Sebaik-baik tempat meluahkan perasaan ialah kepada Allah SWT. Allah SWT memberi contoh dalam surat Yusuf akan luahan nabi Yaakub a.s yang tertekan kerana kehilangan orang tersayang.

Ia sebagaimana firman Allah: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati. (Yusuf: 84)

Anak-anak Nabi Yaakub a.s menyangka bahwa ayahnya mengadu perihal Yusuf kepada mereka, Yaakub berkata: Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Yusuf: 86)

Berzikir menyebut nama Allah.

Pada umumnya terdapat hubungan yang erat antara roh dengan zikir bahkan zikir adalah keperluan asas bagi roh. Allah meletakkan ketenangan dan ketenteraman dalam hati dengan berzikir seperti yang tersebut dalam al-Quran tetapi mestilah dengan syarat khusyuk ketika berzikir.

Di antara zikir yang digalakkan ialah istighfar. Dalam sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang melazimkan diri dalam istighfar maka Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar dari segala kesempitan, dan akan diangkat segala kesusahan dan diberi rezeki dari tempat yang tidak disangka. (riwayat Abu Daud).

Solat dengan khusyuk.

Solat adalah tali penghubung antara hamba dengan Allah demi memohon petunjuk daripada-Nya. Rasulullah SAW apabila berhadapan dengan satu permasalahan besar beliau akan solat untuk memohon petunjuk dan bantuan.

Perumpamaannya ialah jika seseorang menghadapi permasalahan besar maka ia akan akan mencari orang besar atau peguam hebat untuk membantunya.

Demikian pula jika seseorang berhadapan dengan masalah stres sudah semestinya ia perlu menghadap kepada yang Maha Kuasa kerana segala permasalahan dan solusinya datang dari Allah SWT.

Firman Allah: Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar . (al-Baqarah: 153).

Beriman kepada qada dan qadar.

Ini adalah bahagian daripada rukun iman yang enam. Beriman kepadanya memberi kesan penerimaan ke atas apa yang menimpa kepadanya daripada segala yang baik dan buruk.

Pada hakikatnya merasa tertekan atau stres atas apa yang berlaku adalah tanda lemahnya iman kepada qada dan qadar kerana tidak menerima permasalahan tersebut sebagai ketentuan dari Allah SWT.

Al-Quran menyebutkan: Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Taghabun: 11).

Membuka selebar-lebarnya ruang harapan dengan berbaik sangka kepada Allah atas apa yang berlaku yang mengundang stres dan berserah kepada-Nya dalam segala urusan.

Cara Islam rawat stres
Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

Cara Islam rawat stres


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Ibu dalam pantang dukung bayi, pimpin anak, lari daripada kebakaran

 


Sebaran :

Leave a Reply