Ibu dalam pantang dukung bayi, pimpin anak, lari daripada kebakaran


Seorang ibu nekad mendukung bayi lelakinya berusia 20 hari sambil memimpin dua anaknya yang lain, berusia dua dan lima tahun, menyelamatkan diri daripada kebakaran rumah di Dungun hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 8.30 pagi itu, Norhamimah Sulaiman, 39, yang masih dalam pantang, dan ketiga-tiga anaknya selamat tanpa sebarang kecederaan.

Namun, ibu mentuanya, Mek Mah Ismail, 81, cedera ringan pada kaki kiri selepas terpijak bara api ketika cuba mengambil air untuk memadamkan kebakaran.

Norhamimah, yang tinggal di bahagian belakang rumah ibu mentuanya di Kampung Che Lijah, menyedari mengenai kebakaran itu selepas terdengar jeritan Mek Mah.

“Penglihatan emak kurang jelas dan semasa berada di ruang tamu, dia terdengar bunyi letupan kecil lalu bangun memeriksa di bilik, namun terkejut apabila nampak api,” beliau dipetik Utusan sebagai berkata.

Dalam keadaan panik, Norhamimah hanya sempat menyelamatkan dirinya, anak-anak serta ibu mentuanya, tanpa sempat mengambil barangan lain, menyebabkannya tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian.

Ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana keluar berniaga di kedai runcit bersama empat lagi anaknya, katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin, 21 anggota mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran.

“Rumah kayu jenis separuh kekal menyebabkan api merebak pantas dan lorong rumah mangsa yang sempit dengan hanya satu laluan masuk dan keluar menyukarkan jentera bomba untuk ke lokasi kejadian,” katanya. FMT

Kanak-kanak maut rumah terbakar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker