Lepas kes menteri hentak meja, telahan Najib mengenai ‘mesej’ KP Kesihatan tarik perhatian


Selepas laporan menteri bergaduh sampai hentak meja dan menuding jari, yang dikaitkan dengan Ismail Sabri Yaakob “menutup pintu depan” pejabatnya, timbul pula spekulasi terhadap perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan di Facebook mengenai kes Covid-19 di tempat kerja.

Hari ini, Noor Hisham Abdullah berkongsi laporan sebuah akhbar mengenai 299 pekerja sebuah kilang elektronik di Melaka dijangkiti virus itu, menyebabkan penutupan serta-merta kilang berkenaan. Noor Hisham tidak mengulas mengenai laporan itu, sekadar menyiarkan semula.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Najib Razak berkata Noor Hisham jarang membuat rujukan kepada kluster Covid-19 secara spesifik, justeru tindakannya kali ini menimbulkan tanda tanya.

“KP Kesihatan jarang kongsi laporan berita untuk kluster spesifik. Rasanya dia nak hantar mesej kepada seseorang kot,” kata Najib di Facebook.

Najib turut tidak mengulas lanjut mengenai perkongsian Noor Hisham itu, namun hakikat adalah kes tempat kerja membentuk kluster sebahagian besar kluster dan titik panas jangkitan Covid-19.

Semalam sahaja, 19 daripada 24 kluster merangkumi tempat kerja dan data Kementerian Kesihatan menunjukkan ia masalah serius dalam usaha melandaikan lekuk wabak itu.

Telahan Najib mengenai perkongsian Noor Hisham itu mengundang beberapa kritikan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali daripada pengikut laman Ahli Parlimen Pekan itu.

Malah, sebelum itu pun, Azmin menjadi sasaran warganet susulan laporan MITI mengeluarkan surat kebenaran untuk 128,150 syarikat melibatkan 1.57 juta pekerja untuk beroperasi setakat 7.30 pagi semalam semasa “lockdown”.

Jumlah itu dikira akan naik kerana hampir 600,000 syarikat memohon mendapatkan kelulusan itu sehingga semalam.

Sebuah kempen dalam talian dilancarkan untuk mendesak Azmin meletak jawatan dan mengutip lebih 100,000 tandatangan warganet. Petisyen itu menyasarkan 150,000 tandatangan.

Menurut penganjurnya, kempen itu dilancarkan kerana, “hanya satu sebab: gagal berfungsi sebagai menteri kanan yang diharapkan. Titik.”

FMT telah menghubungi pejabat Azmin untuk memperolehi reaksi.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata Ahli Parlimen Gombak itu kelihatan menjadi sasaran musuh politik untuk mencerminkan kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Azmin dikatakan sasaran paling mudah sekali untuk dikambing hitamkan kerana banyak isunya, terutama sekali isu MITI bersabit kelulusan (syarikat beroperasi).

“Azmin dikatakan…sasaran paling rapuh dan mudah untuk menggambarkan kepincangan kerajaan PN,” kata beliau kepada FMT.

Awang Azman Awang Pawi pula berkata petisyen dalam talian mendesak Azmin meletak jawatan adalah “pancaran isu mengenai kegagalan MITI” memastikan hanya sektor berkeperluan asas sahaja dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun, petisyen (itu) hanya mampu memberikan…amaran kepada kerajaan. Pemecatan menteri hanya akan berlaku atas kuasa dan budi bicara perdana menteri,” kata beliau. FMT

Petisyen desak Azmin letak jawatan raih lebih 100,000 tandatangan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker