‘Saya akan cari orang yang beria malukan saya’ – Amaran Tajuddin pada pengkritiknya [VIDEO]

'Saya akan cari orang yang beria malukan saya' - Amaran Tajuddin pada pengkritiknya

‘Saya akan cari orang yang beria malukan saya’ – Amaran Tajuddin pada pengkritiknya

Pasir Salak: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercadang mengambil tindakan kepada pihak yang cuba menjatuhkan imejnya susulan insiden kemalangan tren LRT laluan Kelana Jaya di KLCC, Kuala Lumpur.

Tajuddin berkata, tindakan pihak berkenaan yang menggambarkan beliau seolah-olah tidak prihatin, tidak sensitif selain ada pihak yang mendakwanya rasis kerana mempersoalkan wartawan bukan warga negara disifatkan sebagai penghinaan.



“Saya akan mengenal pasti siapa yang beria hingga saya dimalukan seluruh negara, (digambarkan sebagai) seorang pengerusi yang tidak layak jadi pengerusi, seorang tokoh yang rasis, tidak sensitif dan tidak ikut prosedur operasi standard (SOP).

“Ini penghinaan terhadap saya dan akan ambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media selepas penyerahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada 3,500 penerima Parlimen Pasir Salak secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Menurutnya, ia juga dilihat sebagai mainan portal yang disifatkan suka menimbulkan kontroversi hingga ramai orang mempercayainya tanpa usul periksa terlebih dulu.

Dalam masa sama, Tajuddin mencabar pihak-pihak yang membuat dakwaan sedemikian dengan membuktikan bila dan di mana beliau tidak prihatin atau sensitif terhadap insiden berkenaan dengan menonton semula rakaman sidang media yang dikendalikannya.



“Saya nak cabar mereka, tengok balik video saya, buktikan bahawa saya tidak sensitif, adakah sebab saya ada bergurau sikit dua tren bercium… kissing each other, itu yang diambil sebagai bukti bahan bahawa saya tidak prihatin, tidak sensitif.

“Tengok video (sidang media) itu… mula-mula saya cakap kita berasa sedih dengan apa yang berlaku, kita berasa sedih dan kecewa di atas kejadian dan insiden ini. Saya kata bagi pihak pengurusan, bagi pihak board (lembaga pengarah), kita berasa sedih,” kata Tajuddin.

Mengulas lanjut insiden pertembungan dua tren, Tajuddin berkata, sebagai tanda prihatin, beliau sendiri telah berbincang dengan pihak pengurusan Prasarana untuk membantu mangsa kemalangan seperti kos perubatan dan bantuan khas RM1,000.

Tajudin berkata, mereka yang mengenalinya pasti mengetahui bahawa beliau merupakan seorang yang sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat.



Mengenai bentuk tindakan yang akan diambil, beliau berkata, tindakan itu mengikut undang-undang dan peraturan.

Dalam kejadian 24 Mei lalu, dua tren LRT bertembung menyebabkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 orang lagi cedera ringan.

Tajuddin yang mengadakan sidang media keesokan harinya menerima pelbagai kecaman kerana didakwa tidak sensitif terhadap situasi yang berlaku.

Pada 26 Mei pula, Kementerian Kewangan mengumumkan khidmat Tajuddin sebgai Pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta melalui surat yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.-HM/Awani



‘Saya akan cari orang yang beria malukan saya’ – Amaran Tajuddin pada pengkritiknya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Kalau Tajuddin cepat saja, Azmin pula apa cerita – Shabery



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker