Gurau lucah berisiko disumbat penjara

Gurau lucah berisiko disumbat penjara

PETALING JAYA: Awas jangan `seronok’ sangat menggunakan perkataan lucah atas ‘tiket’ sekadar gurauan kerana anda boleh dipenjara maksimum hingga lima tahun.

Perbuatan tersebut seringkali berlaku dalam persekitaran di tempat kerja dan ia adalah satu bentuk gangguan seksual kerana menimbulkan ketidakselesaan atau mengaibkan individu tertentu.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sejak 2017 hingga Mac lalu, sebanyak 326 kes melibatkan pelbagai kesalahan gangguan seksual di tempat kerja dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, walaupun jumlah kes itu kecil, ia tidak wajar dipandang enteng ekoran terdapat peningkatan pada tahun lalu 87 kes berbanding 52 kes (2019).

“Menyebut kata-kata lucah atau membawa kepada gangguan kesantunan seseorang, pelakunya boleh disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Selain itu, Siti Kamsiah memberitahu, mengambil gambar atau meletakkan kamera di tempat tertentu untuk tujuan merakam aktiviti seseorang tanpa pengetahuan mangsa juga salah kerana ia bersifat peribadi dan boleh mengaibkan individu terbabit.

Kata beliau, perbuatan merakam gambar tersebut juga diklasifikasi sebagai `gangguan seksual’ dan boleh disiasat di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan iaitu penyebaran gambar atau video yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kata beliau, bentuk gangguan seksual lain yang turut dikesan ialah melibatkan perbuatan meraba atau memegang punggung, payu dara atau mana-mana anggota badan mangsa atau pelaku menunjukkan kemaluan sendiri.

Katanya, hampir 90 peratus atau 279 kesalahan gangguan seksual dalam tempoh tersebut melibatkan kes-kes mencabul kehormatan.

Jelas beliau, jumlah itu melibatkan kira-kira 48 kes pada 2017; 62 kes (2018); 50 kes (2019); 80 kes (2020) dan 37 kes bermula Januari hingga Mac tahun ini.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 29 kes kesalahan di luar tabii berhubung gangguan seksual di tempat kerja.

“Bagi kes tanpa sentuhan pula, kira-kira 16 kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang manakala dua lagi kes berkaitan penyebaran video lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Siti Kamsiah berkata, dalam tempoh sama, mereka yang mengalami gangguan secara seksual terdiri daripada 310 wanita dan 16 lelaki.

Menurut beliau, sebanyak 317 mangsa berusia lingkungan 18 tahun ke atas manakala hanya sembilan melibatkan remaja atau 18 tahun ke bawah.

“Kita dapati kebanyakan kes-kes gangguan di tempat kerja ini melibatkan majikan atau rakan sekerja. Terdapat juga laporan berlaku di premis-premis perniagaan apabila pekerja kedai mengadu disentuh pelanggan.

“Bagi kes tanpa sentuhan pula melibatkan telefon bimbit diletakkan di tempat tertentu. Malah jika menghantar video atau gambar lucah pada seseorang atau rakan sekerja juga merupakan satu gangguan seksual,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Siti Kamsiah, isu tersebut bergantung kepada penerimaan serta latar belakang individu yang kadangkala ada yang boleh bergurau dengan elemen ‘lucah’.

“Masyarakat perlu lebih peka terhadap sesuatu perkara, kalau boleh jangan sentuh hal peribadi atau isu seksual individu tersebut. Mungkin niat untuk bergurau namun bukan semua dapat menerima.

“Tambahan pula dalam keadaan tertentu di mana kata-kata dan perbuatan itu jatuh kepada satu kesalahan jenayah. Lebih-lebih lagi perkataan atau pelakuan yang mengaibkan serta menjatuhkan kehormatan individu tertentu,” kata beliau.- MINGGUAN MALAYSIA

Gurau lucah berisiko disumbat penjara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Ibu dalam pantang dukung bayi, pimpin anak, lari daripada kebakaran

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker