Peras ugut kekasih, 3 Lans Koperal PGA didakwa – Ayob Khan


TUGAS sebagai seorang anggota polis sememangnya memainkan peranan dan tanggungjawab besar untuk dipikul.

Bukan sahaja bagi menjaga ketenteraman dan keharmonian awam, tetapi juga memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Namun begitu, tidak dinafikan ada juga yang telah menyalahgunakan kuasa dimiliki untuk melanggar undang-undang.

Itu yang berlaku kepada tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Johor telah dituduh di mahkamah, hari ini kerana melakukan peras ugut ke atas pasangan kekasih yang didakwa berdua-duaan dalam kenderaan.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketiga-tiga anggota berpangkat Lans Koperal itu telah dikesan melakukan peras ugut ke atas pasangan terbabit dengan meminta wang sebanyak RM5,000 seorang dalam kejadian yang berlaku pada 20 Mei lalu di Pontian.

Jelas beliau, anggota PGA itu mengugut diberikan duit jika pasangan terbabit tidak mahu ditahan dan dirujuk ke pejabat agama.

Bukan itu sahaja, kata Ayob Khan, anggota berkenaan juga telah mengambil seutas gelang dan cincin yang dipakai mangsa.

Baca artikel berkaitan: Tak sempat seludup ke Indonesia, syabu bernilai RM4.68 juta dirampas ketika PKP – Ayob Khan

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dengan penjara atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Susulan daripada laporan dibuat mangsa, polis telah melancarkan operasi dan kita dapat menangkap tiga suspek dalam lingkungan umur 27 hingga 33 tahun.

“Kita juga telah menjumpai barang kemas membabitkan gelang dan cincin milik mangsa.

“Ketiga-tiga suspek telah dituduh pagi ini di mahkamah. Kesemua mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan sebanyak RM7,000 seorang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Pada masa sama, Ayob Khan berkata, polis Johor juga telah menangkap seorang anggota yang bertugas di Balai Polis Endau, Mersing atas kesalahan positif dadah jenis Methamphetamine, Sabtu lalu.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku pegawai atau anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang melanggar undang-undang.

“Sejak Januari hingga kini, seramai 54 pegawai dan anggota telah dikenakan tindakan tatatertib, lapan telah dibuang kerja, 59 ditahan kerja, 14 digantung manakala 72 lagi sedang menanti perbicaraan.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku melanggar undang-undang. Apabila dikesan, kita akan mengambil tindakan, buka kertas siasatan dan menuduh di mahkamah,” jelas beliau. Utv

“Tahan dan kompaun saja…Dah banyak sangat bagi nasihat, amaran” – Ayob Khan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker