Ajar proses dadah secara ‘online’, lelaki 56 tahun ditahan polis



Sebaran :


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 56 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengajar memproses dadah jenis syabu menerusi panggilan video menggunakan aplikasi WhatsApp dengan mendapat upah sehingga RM5,000 bagi setiap sesi pengajaran.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki yang mempunyai kepakaran memproses dadah berkenaan ditahan di rumah sewanya di Jalan Gombak pada 17 Mei lepas dan polis turut merampas bahan kimia serta perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan syabu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengambil upah RM5,000 bagi setiap sesi pengajarannya mengenai cara-cara memproses dadah yang dibuat menerusi panggilan video berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.



Beliau berkata suspek yang dipercayai aktif menjalankan kegiatannya sejak 2019 itu memperoleh kepakaran memproses dadah terbabit dengan mempelajarinya menerusi media sosial.

Menurutnya kegiatan suspek terdedah selepas polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita pada 16 Mei lepas kerana disyaki mengedar dadah di sebuah premis di Bandar Baru Sentul, di sini.

Beh berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek berusia 30-an itu menemukan syabu dan ganja masing-masing seberat 51.80 gram (g) dan 3g di premis mereka.



Menurut beliau, siasatan ke atas kedua-dua suspek berkenaan juga membawa kepada penemuan 150g lagi syabu hasil serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul.

“Hasil soal siasat yang sama, polis menyerbu sebuah rumah di Puchong, Selangor, pada 17 Mei lepas dan menahan tiga lelaki dan tiga wanita serta merampas syabu seberat 370g,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut polis menemui bahan kimia dipercayai bahan utama untuk memproses syabu seperti Acetone, Methanol, Hydrogen Peroxide serta perkakasan rod kaca, alat penitis, alat penimbang dan alat pemanas elektrik.



“Rampasan dadah dalam kesemua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM57,330,” katanya sambil menambah kesemua suspek yang berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu kecuali suspek yang mengajar memproses dadah mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sejak 18 Mei lepas sehingga semalam dan disambung semula hingga 28 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. Bernama

Wanita guna parang halang AADK tahan dua anaknya


Sebaran :


Leave a Reply