Wanita guna parang halang AADK tahan dua anaknya


LARUT – Demi kasih kepada anak, seorang ibu tidak mampu berfikiran waras apabila tergamak mengugut dengan sebilah parang bagi menghalang penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak daripada menahan dua anak lelakinya.

Dalam Op Perdana yang dijalankan di Batu Kurau hari ini, wanita berusia 60-an itu enggan memberi kerjasama hingga terpaksa dipujuk pegawai AADK selama lebih 30 minit.

Tindakan degil wanita itu menyebabkan anaknya masing-masing berusia 18 dan 20 tahun hampir berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota AADK berjaya memberkas dua penagih tegar itu ketika mereka cuba melarikan diri melalui bumbung rumah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, A. Rueben berkata, ketika serbuan dijalankan, beberapa anggotanya telah bersiap sedia mengepung rumah berkenaan.

Katanya, ketika ditangkap, dua beradik itu didapati dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati dua beradik itu merupakan penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, dalam operasi dua hari di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sejak semalam, 36 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan termasuk merampas 55.29 gram dadah jenis morfin.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 16 hingga 56 tahun.

“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis ganja, morfin dan syabu menerusi ujian saringan awal air kencing.

“Mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998 manakala suspek yang didapati memiliki dadah telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -K! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker