[VIDEO] Alami SIndrom Down, Tidak Halang Remaja Jadi Penghafaz Al-Quran
Dilahirkan sebagai insan istimewa dengan mengalami sindrom down tidak menghalang seorang remaja Muhamad Luqman Nazim Muhamad Fadzli untuk menjadi seorang penghafaz al-Quran.
Walaupun dilahirkan tidak sempurna seperti insan lain, namun Muhamad Luqman Nazim, 17, dikurniakan daya ingatan yang kuat dan terang hati sehingga membolehkannya menghafaz surah-surah lazim seperti al-Fatihah, al-Falaq, an-Nas, al-Kaafirun, al-Asr, al-Fil, al-Ma’un dan al-Kausar sejak kecil.
Menurut ibunya, Farah Nazim Bulya Nazim, 42, yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang, anak sulung daripada empat beradik itu mula mengenal huruf, angka dan jawi pada usia dua tahun serta mula membaca ketika berusia enam tahun.
“Alhamdulillah, Muhamad Luqman Nazim dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat. Dia dapat mengingat sesuatu dalam masa singkat dan cepat, contohnya dia mampu menghafaz surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 hanya dalam tempoh tiga hari dan terbaru, Qunut Nazilah dalam masa sehari.
“Saya sentiasa berbual dan bercakap dengan Luqman dengan sebutan intonasi menggerakkan mulut secara perlahan-lahan kerana saya percaya dalam usia ini dia sebenarnya sedang belajar melalui pergerakan bibir,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, Farah Nazim turut mengelak untuk bercakap dengan menggunakan bahasa pelat budak kecil bagi mengelakkan anaknya itu terikut dengan cara bercakap tidak betul.
Beliau juga sering mengurut muka Muhamad Luqman Nazim sejak dari kecil bermula dari bahagian kening, batang hidung dan mulut sampai ke pipi sambil berzikir.
Untuk proses menghafaz pula, Farah Nazim lebih selesa menggunakan kaedah pengulangan serta memberi ganjaran setiap kali anak-anaknya berjaya menghafaz sesuatu surah.
“Bagi saya anak-anak perlu diajar berdisplin termasuklah Muhamad Luqman Nazim. Sebagai ibu bapa, kita perlu tegas tetapi penyayang selain sentiasa memegang jawatan guru disiplin peribadi untuk anak-anak,” katanya.
Selain dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat, Muhammad Luqman Nazim juga tidak kekok untuk membantu ibunya memasak sehingga video membantu ibunya memasak turut tular di media sosial baru-baru ini di laman Facebook (FB) ‘Masak Apa Hari Ini’.
Gelagatnya yang sangat bersahaja dan ceria menyebabkan rata-rata warga net yang menonton video masakannya itu terhibur setelah melihat aksinya seperti seorang cef profesional mengendalikan program memasak.
Sementara itu, Farah Nazim yang juga ahli kumpulan Persatuan Bunga-Bunga Syurga Sindrom Down Malaysia, pada masa sama berharap agar masyarakat dan pihak berkenaan peka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ini dengan memberi peluang kepada mereka untuk hidup dalam komuniti.
“Anak-anak ini ada keistimewaannya tersendiri yang perlu dicungkil dan digilap secara berterusan. Mereka juga berhak disayangi dengan betul iaitu dengan memberikan didikan kendiri dan bukannya kasih sayang tanpa ilmu,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar satu silibus pendidikan khas Sindrom Down diwujudkan bagi memperkasa kebolehan golongan itu.
— BERNAMA
Lelaki Ini Sanggup Panjat Tingkap Hospital Untuk ‘Lawat’ Insan Yg Istimewa Buat Ramai Sebak