Dilabel “Pelakon Kayu”..Dolla Tak Kisah
Kumpulan jolokan BLACKPINK Malaysia, Dolla tidak kisah dilabel ‘pelakon kayu’ apabila buat kali pertama beraksi dalam telefilem Dolla Watch Me Glow.
Telefilem Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar lakonan empat gadis lincah, Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle yang diterbitkan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music Malaysia itu akan disiarkan menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD, jam 9 malam ini.
Biarpun baru setahun jagung melangkah ke bidang seni, Dolla sudah boleh berbangga apabila kisah hidup mereka diangkat ke layar televisyen.
Mewakili Dolla, Sabronzo berkata, mereka yang tidak menyangka apabila diberitahu pihak pengurusan mengenai hasrat Astro mengangkat kisah hidup Dolla dalam telefilem.
Katanya, sebagai kumpulan yang baru bertatih dalam industri muzik, peluang itu dilihat terlalu besar untuk mereka.
“Kami sangat terkejut apabila Astro berminat mengangkat kisah Dolla. Kalau ikutkan, kami belum ada sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Jauh di sudut hati, kami rasa belum layak menerima pengiktirafan ini. Namun, sudah rezeki Dolla, kami tetap berbangga Astro sudi mengiktiraf bakat kami,” katanya Sabronzo kepada BH Online.
Berkongsi pengalaman kali pertama menerokai dunia lakonan, Sabronzo berkata, Dolla sedikit kekok ketika memasuki lokasi penggambaran. Namun, dengan bantuan pengarah dan kru produksi, mereka dapat berjaya menjiwai watak masing-masing.
“Tidak dinafikan, bukan mudah bergelar pelakon, apatah lagi, ini adalah pengalaman pertama anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan kru banyak membantu untuk menghayati watak.
“Bagi saya, bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis. Tetapi, saya mengagumi Tabby dan Syasya, biarpun kali pertama berlakon, tetapi mereka boleh mengalirkan air mata tanpa paksaan. Nasib baik pengarah boleh bersabar dengan saya, minta mengingati dan mendengarkan lagu sedih supaya dapat melakukan babak menangis,” kata Sabronzo.
Sabronzo berkata, kisah dalam telefilem Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus tepat dengan kisah hidup anggota Dolla. Pelbagai kisah suka dan duka bakal dikongsi dengan peminat, malah mungkin ada kisah yang tidak diketahui peminat, sebelum ini.
Bagaimanapun, kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla kepada khalayak kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan.
“Hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem ini ada kena mengena dengan Dolla. Cuma, 30 peratus sahaja ditokok tambah bagi mewarnai dan menjadikan jalan cerita telefilem lebih menarik.
“Bagi kami, tiada apa yang perlu dirahsiakan. Jadi, apa yang bakal penonton saksikan memang kisah hidup sebenar Dolla.
“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang menganggap kami pelakon kayu selepas menonton aksi pertama dalam lakonan.
“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan Dolla belum memuaskan,” kata Sabronzo.
Walaupun masih hijau, Sabronzo mendedahkan, Dolla kini mula meminati bidang lakonan. Malah, bersedia untuk lebih serius jika ada tawaran lakonan.
“Kami tidak akan menghalang anggota Dolla jika menerima tawaran lakonan secara individu. Bagi kami, ini rezeki masing-masing, seharusnya kami akan memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.
Telefilem Dolla Watch Me Glow mengisahkan Sabrina, gadis yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los Angeles, California. Tabby, anak tunggal yang dikongkong keluarga.
Shasha pula sekian lama dibenci ibunya sendiri, manakala Angel adalah gadis yang sentiasa ingin keluar daripada zon selesa dalam hidupnya.
Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita-cita dan minat dalam bidang muzik dan menjalani uji bakat bersama syarikat rakaman, Universal Music secara solo.
Bagaimanapun, penyelaras A&R syarikat berkenaan, Kelly lakonan Azwan Ali membuat keputusan untuk menyatukan mereka sebagai satu kumpulan. Sabrina yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi rap tidak berpuas hati. Dari situ, bermula pelbagai peristiwa membentuk sebuah kumpulan.
Selain Dolla, telefilem itu turut dibintangi Fauziah Nawi, Mat Over, Angeline Tan, Aniq Suhair, Catriona Ross, Aida Aris, Douglas Lim dan ramai lagi.
You must be logged in to post a comment.