Peguam tak puas hati BMW Neelofa, suami dibenar parkir dalam kawasan mahkamah


SEREMBAN: Peguam Negeri Sembilan mempertikaikan layanan istimewa diberikan kepada Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Mohammad Haris Mohd Ismail apabila kenderaan dinaiki mereka dibenarkan parkir dalam Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lalu.

“Mereka (peguam) mempersoalkan mengenai layanan istimewa apabila kenderaan pasangan itu dibenarkan memasuki dalam kawasan kompleks mahkamah, sementara individu yang lain pula perlu meletakkan kereta di kawasan parkir di bahagian luar mahkamah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan, Azmi Abdoll Aziz.

Katanya, aduan diterima Khamis lalu iaitu hari sama pasangan terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Seremban.

Beliau berkata, pihaknya memajukan aduan itu kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Madihah Harullah petang Jumaat lalu.

“Kita berharap pihak mahkamah akan memberi maklum balas dalam masa terdekat mengenai perkara terbabit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pada prosiding di Mahkamah Majistret Seremban Khamis lalu, kenderaan BMW dinaiki Neelofa, 32, dan Haris, 26, dibenarkan memasuki dalam kawasan kompleks mahkamah dan dibenarkan parkir di premis disediakan.

Difahamkan tempat parkir itu hanya untuk kenderaan kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian hanya kepada orang awam (orang kurang upaya).

Malah, mereka turut mendakwa bahawa ada sesetengah peguam pernah dimarahi oleh pengawal keselamatan apabila mereka meminta untuk membawa masuk kenderaan ke pekarangan mahkamah dan mereka terpaksa patuh bagi menghormati integriti institusi terbabit.

Khamis lalu, pasangan terbabit dituduh di mahkamah atas kesalahan gagal mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual pada buku disediakan ketika hadir di kedai karpet di Nilai 3, Nilai, 2 Mei lalu.

Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam, manakala Neelofa pula satu tuduhan tidak membuat imbasan MySejahtera di premis itu.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM15,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun. FMT

Neelofa dan PU Riz tidak dikenakan tuduhan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker