Polis buka kertas siasatan terhadap Exco Selangor langgar SOP Aidilfitri
Polis Selangor akan memanggil seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah Aidilfitri pada majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, selain Exco terbabit, pihaknya juga akan memanggil semua individu yang terdapat dalam gambar tersebut bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, susulan penularan gambar tersebut, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17, P.U (A) 225/2021 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.
“Kertas siasatan telah dibuka dan jika ada kesalahan, kita mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada.
“Setakat ini, kita belum memanggil mana-mana individu dan proses seterusnya dijalankan hari ini. Berapa ramai yang akan dipanggil, kita tidak dapat pastikan tetapi semua individu dalam gambar akan dipanggil untuk diambil keterangan termasuk Exco tersebut,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Semalam, seorang Exco Selangor didakwa melanggar SOP ziarah Aidilfitri di kediamannya di Tanjung Sepat.
Penularan gambar tersebut menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan gambar daripada sebuah akaun twitter kira-kira pukul 5.45 petang.
Berdasarkan akaun Twitter berkenaan yang dipaparkan pada 11.27 pagi itu tertulis ‘Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan.. tarikh dan masa dah terpampang kat gambar2 tu’.
Gambar itu memaparkan satu majlis sambutan hari raya yang dikatakan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ziarah Aidilfitri yang sedang berkuat kuasa.-UM
Tabung Bantuan Covid-19, MB & EXCO Selangor Potong Gaji Sebulan Sahaja