Arab Saudi zalim, OIC macam kelab forum – Hadi Awang

Sebaran :


Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik keras Arab Saudi, negara-negara Arab yang melaksanakan normalisasi terhadap Israel serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) susulan konflik terbaru Israel dan pasukan bersenjata Palestin.

Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu juga menyifatkan OIC sebagai tidak bermaya dan hanya bertindak sekadar sebuah kelab yang menganjurkan forum.

“Sepatutnya OIC memainkan peranan dengan kewajipan untuk menyatukan umat Islam dan membina kekuatan mereka dalam segala lapangan.

“Akan tetapi, mereka hanyalah bersifat kelab untuk berforum dengan mengeluarkan hasil resolusi yang mengikut arahan tangan-tangan yang nyata dan ghaib,” kata duta bertaraf menteri itu.

Selepas konflik 11 hari yang mengorbankan hampir 250 orang, Israel dan kumpulan bersenjata Palestin Hamas semalam bersetuju mengadakan gencatan senjata, dengan Mesir menjadi pengantara.

Dalam kenyataannya hari ini, Hadi turut mendakwa institusi agama di Arab Saudi juga dipergunakan manakala golongan ulamanya ditekan.

“Golongan Zionis yang tergamam dengan kebangkitan semula Islam, gagal melekakan umat Islam dengan khutbah-khutbah yang diatur sehingga mimbar masjid-masjid di Makkah dan Madinah juga dipergunakan.

“Para imam dan ulama yang tidak patuh dengan arahan akan disekat atau ditahan, sebahagian daripada mereka hari ini masih meringkuk dalam tahanan, termasuklah wakil Hamas yang sedang sakit tenat,” katanya.

Hadi berkaya, Israel kini menjadi semakin berani kerana negara itu mempunyai bantuan bekalan senjata di samping terdapat usaha diplomatik memujuk negara-negara Arab supaya melaksanakan normalisasi terhadap Israel secara “talam dua muka”.

“Perkara tersebut masih berlaku, walaupun negara-negara Arab itu dikatakan telah mengecapi kemerdekaan yang diulang-ulang sambutannya sudah berpuluh kali sebagai hari kebangsaan negara masing-masing.

“Pada masa yang sama, negara-negara Arab itu berwiridkan perkataan pengganas mengikut riwayat negara Zionis,” katanya.

Sehubungan itu, Hadi secara khusus menuntut Arab Saudi berperanan langsung dalam isu ini.

“Bagi negara-negara yang melakukan normalisasi terhadap Israel, hendaklah mereka semua kembali ke pangkal jalan.

“Seruan ini secara khusus ditujukan kepada Arab Saudi yang bergelar khadam dua tanah haram (tanah suci), supaya membebaskan para imam masjid-masjid di Makkah termasuklah para ulama, ilmuwan dan pemimpin masyarakat yang berani bercakap kerana benar,” katanya.

Hadi juga mendakwa terdapat beberapa pemimpin Hamas yang berlindung di Saudi turut ditahan.

Katanya, mereka termasuk seorang individu yang sedang tenat menghidap kanser berusia 80 tahun.

“Apa yang telah dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi itu merupakan satu tindakan zalim yang telah mencalarkan wajah negara yang bergelar khadam dua tanah haram,” katanya. Mk

Tidak selesa dengan kerajaan PN, sila letak jawatan – Hadi Awang


Sebaran :

Leave a Reply