Lelaki maut di IPD Gombak hadir untuk urusan dokumentasi, bukan disiasat, kata polis


Polis berkata, lelaki yang meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam hadir untuk urusan dokumentasi berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, bukannya bagi tujuan siasatan.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki berusia 43 tahun itu bersetuju ke IPD Gombak untuk dokumentasi dan proses berikutnya, oleh itu dia dibawa dari sebuah kilang kira-kira 11.20 pagi tanpa digari kerana memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang perjalanan.

“Bagaimanapun, setibanya di IPD Gombak pada 11.40 pagi, dia tiba-tiba mengalami sesak nafas.

“Malah, ketika kejadian, lelaki ini masih bernafas apabila pasukan dari Hospital Selayang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

“Kita ingin menegaskan di sini bahawa lelaki ini dibawa ke balai bukan untuk tujuan siasatan kerana perkara tersebut telah selesai. Dia dibawa kerana waran yang dikeluarkan terhadapnya dan diberi jaminan polis untuk hadir ke mahkamah,” katanya dipetik Utusan Malaysia dalam sidang akhbar maya hari ini.

Semalam, Sivabalan Subramaniam dilaporkan ditahan untuk membantu siasatan pada 11.45 pagi tadi dan meninggal dunia pada 12.25 tengah hari di IPD Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe dalam kenyataan semalam berkata, pengawal keselamatan itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan dilaporkan mengalami sesak nafas ketika berada di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Gombak.

Beliau berkata, ambulans dari Hospital Selayang tiba di pejabat JSJ IPD Gombak dan memberikan rawatan kecemasan, tetapi Penolong Pegawai Perubatan hospital itu mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia pada 12.30 tengah hari.

Katanya, suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, dilaporkan masih dikehendaki bersabit satu kes ugutan jenayah di IPD Gombak bagi tujuan dokumentasi.

Arjunaidi berkata, keluarganya memaklumkan lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan sesak nafas.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan polis menyerahkan kepada hospital untuk menentukan punca kematian lelaki itu.

Beliau berkata, selepas semuanya selesai, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada koroner untuk mengadakan inkues. FMT

Lelaki mati kurang sejam selepas ditahan polis Gombak

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker