Samun kedai emas dalam masa seminit


KUALA LUMPUR – Hanya masa seminit diambil tiga penjenayah menyamun dan melarikan pelbagai jenis barang kemas dari sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Jalan Gombak di sini hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua suspek berpakaian jaket dengan topi keledar bertutup penuh serta memakai pelitup muka menyerbu kedai emas sebelum memecahkan ruang pameran kaca di dalam premis itu.

Katanya, polis menerima laporan mengenai insiden itu sekitar jam 5.15 petang daripada orang awam di lokasi tersebut.

“Polis bersama pasukan forensik bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati tiada pengawal keselamatan digajikan oleh pemilik premis berkenaan.

“Manakala semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai emas itu mendapati tiga suspek lelaki bersenjata parang, tukul besi dan kapak masuk dalam kedai itu.

“Dua suspek masuk ke dalam manakala seorang rakan mereka yang bersenjatakan parang menunggu di luar premis.

“Secara kebetulannya, semasa kejadian tiada pelanggan dalam kedai emas itu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek memecahkan cermin ruang pameran kedai emas terbabit dan melarikan pelbagai barang kemas berharga.

Ujar Ashari, jumlah anggaran kerugian barangan kemas yang dibawa lari ketiga-tiga suspek masih dalam siasatan.

“Kesemua suspek dipercayai melarikan diri dengan motosikal dan ini kali pertama premis ini dipecah masuk,” katanya.

Menurutnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden samun itu supaya menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran. MG

Warga asing separuh bogel cabul, samun warga emas ketika tidur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker