Cirit-birit musim raya


Walaupun Aidilfitri disambut dalam norma baharu, pelbagai juadah istimewa tetap disediakan bagi memeriahkan suasana perayaan.

Sebahagian juadah pula dimasak lebih awal dan dalam kuantiti lebih banyak daripada biasa.

Selain dihidang untuk ahli keluarga dan saudara, ia juga sebagai tradisi bertukar juadah dengan jiran tetangga.

Bagaimanapun, ‘kemeriahan’ juadah ini ada kalanya mengundang terjadinya masalah lain iaitu cirit-birit.



Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, cirit-birit semasa musim perayaan seperti Aidilfitri antara masalah kesihatan yang kerap terjadi.

Menurutnya, ia keadaan apabila individu kerap membuang air besar melebihi tiga kali sehari.

“Kandungan najis adalah cair, bercampur mukus dan ada kalanya mengandungi darah.

“Antara gejala yang turut dialami pesakit ialah sakit dan tidak selesa pada perut, loya atau muntah serta demam,” katanya.



Kata Dr Malina, cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi serius sehingga mengancam nyawa jika tidak ditangani dengan sempurna. Masalah ini boleh menimpa bayi, kanak-kanak atau warga emas.

“Antara faktor berlaku cirit-birit ialah makanan dicemari kuman atau toksin yang dikeluarkan oleh kuman itu sendiri,” katanya.

Dr Malina berkata, masalah berlaku berkemungkinan besar disebabkan kaedah penyimpanan makanan tidak higenik atau terdedah, tanpa ditutup dalam bekas yang sempurna.



“Makanan terdedah mungkin mengundang lalat atau lipas yang boleh mencetuskan pencemaran.

“Juadah berasaskan ayam lebih mudah menarik lalat datang dan bertelur pada makanan berkenaan.

“Pencemaran telur lalat pada makanan boleh menyebabkan cirit-birit yang teruk,”katanya.

Dr Malina berkata, makanan yang disediakan sehari sebelum sambutan Aidilfitri, sebahagiannya boleh rosak dan tidak selamat dimakan.



“Ini terjadi jika makanan itu tidak melalui proses pemanasan semula yang sempurna atau langsung tidak dipanaskan.

“Makanan basi mengandungi toksin yang boleh menyebabkan cirit-birit, seterusnya mengakibatkan keracunan,” katanya.

Jelasnya, bagi tradisi bertukar-tukar juadah, jika tidak dilakukan dalam tempoh hayat makanan atau tidak disimpan dengan baik, ia juga berpotensi mencemarkan makanan berkenaan.

Kata Dr Malina, cirit-birit semasa perayaan juga berlaku kerana keadaan fisiologi gastro usus selepas berpuasa sebulan.



“Usus ‘terkejut’ menerima pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang banyak ketika Aidilfitri menyebabkan individu terdedah kepada masalah penghadaman.

“Gejala yang dialami seperti kembung perut, rasa sebu dan tidak selesa di bahagian abdomen.

“Sebahagiannya juga mungkin mengalami masalah cirit-birit kerana tidak tahan dengan tahap kepedasan makanan,” katanya.

Menurut Dr Malina, mereka yang mengalami cirit-birit pada musim perayaan, tetapi klinik tidak beroperasi boleh mengambil langkah rawatan seperti hanya makan makanan separa pejal, tidak pedas dan tak berminyak.



“Digalakkan mengambil air mencukupi untuk menggantikan kuantiti air yang hilang melalui cirit-birit.

“Kajian saintifik menunjukkan selain minuman isotonik berupaya menggantikan garam galian tubuh yang hilang, minum air kelapa tanpa gula dan ais sangat baik untuk memulihkan keadaan cirit-birit.

“Minuman probiotik juga terbukti membantu memulihkan keadaan fisiologi usus. Langkah ini perlu diikuti hingga pesakit pulih sepenuhnya,” katanya.

Dr Malina berkata, untuk mengelak cirit-birit pada musim perayaan, setiap individu perlu mengambil berat kebersihan diri, proses penyediaan dan hidangan makanan.

“Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, perlu memastikan juadah yang dihidang dan dinikmati masih dalam keadaan elok, enak serta selamat dimakan.

“Tanggungjawab ini perlu digalas semua orang, bukan hanya kepada mereka yang memasak di dapur,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang mempunyai masalah perut (gastro usus) agak sensitif iaitu tidak tahan pedas, ambillah juadah secara berpada-pada.

“Jangan terlalu mengikut selera makan yang akhirnya memudaratkan diri.

“Juadah yang disediakan lebih awal atau dalam kuantiti banyak perlu disimpan dan diletakkan dalam bekas dengan suhu persekitaran sesuai.

“Ini untuk mengelakkan juadah dicemari, rosak dan tidak lagi selamat dimakan,” katanya. HM

Varian ganas ancam cetus tsunami kes baru di Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker